SERDANG: Polis mengesahkan telah menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa sebuah universiti tempatan mengupah syarikat bagi membunuh seekor anjing di kawasan institusi pengajian tinggi berkenaan.
Laporan itu dibuat pada pukul 11.23 pagi pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhammad Farid Ahmad berkata, laporan dibuat selepas pengadu berusia 51 tahun itu melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan pihak universiti terbabit.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772],” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kes masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
“Polis juga meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini tampil membantu dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-8074 2222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya. – UTUSAN










