Ulasan Badak: Ketika yang tuli lebih memahami - Utusan Malaysia

Ulasan Badak: Ketika yang tuli lebih memahami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ENTAH semacam kebetulan agaknya hubungan anak dan bapa terus menjadi pilihan pengkarya tahun ini.

Bagaimana tema ini dituai dengan benih, latar dan falsafah yang berbeza sekali gus membuat kita seolah-olah menikmati hidangan dari asas yang sama tapi pelbagai aneka ‘rasa’.

Cuma risikonya, walau tiada niat saling membanding, sebagai penikmat, kita tahu hidangan mana lebih melekat.

Badak tiba di panggung ketika Malaysia melalui hari-hari sugul, berita seorang bapa Muhammad Badrul memangku jenazah anak kali terakhir yang mati dipukul tukul.

Juga seorang ayah, Amirul Ridzuan yang terpaksa ‘merelakan’ bayi IVF ditunggu sedekad maut selepas kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang.

Filem arahan M Raihan Halim, mengeluarkan sosok ayah dalam serba serbi sederhana, seperti ayah-ayah yang anda jumpa di luar sana.

Raihan nyata dan tidak mengada-ngada dalam membina karakter Badak, dipanggil dengan nama itu kerana fizikalnya yang besar dan pekak.

Pekak Badak pula memang ada konotasi istimewa dalam simpulan bahasa, bermaksud seseorang yang pura-pura tidak mendengar atau gagal mendengar dengan jelas.

Badak hanya menampilkan beberapa karakter utama iaitu Badak (Shaheizy Sam), Mirah (Aida Amron) dan Abah (Wan Hanafi Su).

Namun saya fikir Raihan kenal benar setiap karakter, kerana dengan hanya bantuan tiga karakter ini sahaja, filem ini bergerak sangat solid.

Kita faham konflik yang menekan setiap salah satu.

Seorang Badak yang masih melihat Mirah seakan masih kecil atau memang dia cuba menolak waktu, menahan Mirah daripada dewasa kerana itulah satu-satunya teman yang dia punya.

Abah yang keras kepala melewati withdrawal syndrom apabila pernah bergelar penyanyi popular.

Juga kekecewaannya memiliki anak pekak yang tidak boleh dijadikan piala (seperti ayah segeneraisnya).

Juga Mirah, yang harus menjadi tulang punggung keluarga sandwich generation pada usia semuda itu.

Ketiga-tiga bergelut dalam latar Kampung Bharu, yang saya baca sebagai simbol ketekalan dan perjuangan orang di kelas menengah.

Semuanya terngucap hidup dalam kota yang ada cara memusnahkan impian.

Namun seiring filem berjalan, Badak menumbuhkan harapan perlahan-lahan.

Tiada unsur estetik gedik, solekan menyamar dalam Badak, semuanya ditampilkan senyata mungkin dan itulah keindahan paling besar filem ini.

Pekak dan merasai muzik

Badak akan jadi filem yang gagal bagi saya jika sekadar mengeksploitasi kekurangan seorang pekak; hanya untuk memaksa kita bersedih.

Namun berbanding filem Raihan sebelum ini, Badak menyentuh ‘rasa’ runtun dalam hati yang tidak boleh saya gambarkan.

Ia tidak membuat saya teresak, tapi seperti ada sesuatu memberat, tertinggal dan membekas dalam hati.

Raihan mengenali orang pekak dan perasaan mereka, setidaknya itu yang saya percaya sepanjang menonton filem ini.

Dia tahu orang yang mempunyai kekurangan pendengaran tidak sekadar mendengar muzik tapi mereka mengalaminya berdasarkan adegan Badak memegang pembesar suara.

Muzik hip hop ada signifikan dalam cerita ini (tanpa menyemak sejarah kedatangan hip hop di Kampung Bharu), ia bergetar dan orang-orang pekak mengalami muzik memang melalui getaran seperti lantai, belon bahkan peranti baju sentuhan atau haptic suits seperti konsert untuk orang pekak, Music Not Impossible di Los Angeles.

Mereka menterjemah muzik dengan semua deria yang mereka ada, mereka lebih akrab, mereka lebih dekat.

Seperti Beethoven meraba dan ‘merasai’ getar piano di hujung-hujung fasa sebelum pendengarannya perlahan-lahan menghilang.

Badak terasa sangat sekejap tapi padat, antara filem tempatan yang indah dan cemerlang saya saksikan tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN