KUALA LUMPUR: Stesen televisyen, TV AlHijrah bersama Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) telah menandatangani Perjanjian Kerjasama Wakaf Tunai bagi memperkukuh peranan media Islam dalam mendidik, menyebar dan menggerakkan ummah ke arah amal jariah yang berkekalan.
Dengan termeterainya perjanjian ini, TV AlHijrah muncul sebagai media penyiaran Islam pertama di Malaysia yang mengangkat wakaf tunai sebagai agenda kerjasama rasmi, bukan sekadar kempen kesedaran, tetapi juga melalui pelaksanaan program bersama yang lebih menyeluruh.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, kerjasama strategik ini bakal membuka ruang lebih luas kepada masyarakat untuk menyalurkan wakaf tunai melalui saluran yang diyakini seperti Alhijrah Media Corporation.
Menerusi kolaborasi ini juga, TV AlHijrah menjadi jambatan yang memudahkan penonton untuk menyertai amal kebajikan secara telus, sah dan berkesan sekali gus menyokong pelbagai inisiatif pembangunan ummah yang digerakkan oleh YWM di seluruh negara.
“Kerjasama ini adalah titik tolak penting untuk menghubungkan masyarakat dengan peluang beramal jariah melalui medium penyiaran.
“Kami percaya wakaf bukan sekadar instrumen ekonomi, tetapi satu ibadah yang mengikat hati kita dengan Allah dan meninggalkan manfaat kepada generasi seterusnya.
“Harapan kami, inisiatif ini akan menjadi model rujukan bagi medium penyiaran Islam di rantau ini selari dengan semangat Wakaf Anda, Dakwah Kami, usaha ini ,” katanya.
Dalam pada itu, Namanzee turut menyeru masyarakat Islam agar menjadikan wakaf sebagai sebahagian daripada budaya hidup.
“Jika kita boleh melazimi sedekah harian, maka wakaf tunai adalah sedekah berpanjangan yang tidak putus ganjarannya.
“Inilah peluang untuk kita menyumbang walaupun sedikit, kerana nilai kecil yang terkumpul mampu membina sesuatu yang besar demi manfaat agama, bangsa dan negara,” jelasnya.
Dengan kerjasama ini, pihak TV AlHijrah dan YMW yakin wakaf tunai bagi pelaksanaan wakaf media akan berkembang sebagai salah satu teras pengukuhan ekonomi umat Islam, sambil menghidupkan budaya berkongsi rezeki dan menyalurkan keberkatan kepada masyarakat.
Dalam masa sama, perjanjian ini memberi peluang kepada penonton untuk menyertai wakaf media dengan mudah melalui imbasan kod QR yang dipaparkan di skrin televisyen atau di mana-mana platform media digital TV AlHijrah.
Dana wakaf yang terkumpul akan disalurkan khusus bagi membiayai kos penerbitan rancangan-rancangan dakwah dan program Islamik di TV AlHijrah iaitu Quran@114 dan Hadith@114.
Bukan itu sahaja, setiap sumbangan penonton akan terus menjadi sebahagian daripada usaha melahirkan kandungan siaran yang bermanfaat, memperluas capaian dakwah dan memberi impak berpanjangan kepada ummah.
TV AlHijrah komited untuk terus menyampaikan mesej Islam yang segar, mendidik jiwa dan membimbing masyarakat ke arah penghayatan nilai-nilai murni agar dakwah terus hidup di layar kaca televisyen dan di hati penonton.-UTUSAN