SEPANG: Kerajaan kini mempunyai beberapa pilihan untuk membawa keluar 23 rakyat Malaysia yang kini ditahan Israel menerusi pintu negara ketiga.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, buat masa ini, antara pilihan negara itu ialah Tukiye dan Jordan.
Bagaimanapun, beliau berkata, buat masa ini, kerajaan tidak boleh mengesahkan kesemua rakyat itu akan dibawa keluar menerusi pintu mana dan ia bergantung kepada rundingan negara berkenaan dengan pihak Israel.
“Kerajaan telah berhubung dengan beberapa negara yang mempunyai hubungan baik dan menerima jaminan untuk membantu membawa keluar aktivis Malaysia dengan segera.
“Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi telah memberikan jaminan yang mana beliau mengarahkan Kementerian Luar dan agensi lain Jordan untuk membantu rakyat Malaysia seperti mana rakyat Jordan yang ditahan.
“Turkiye juga memberi jaminan untuk membantu rakyat Malaysia sebaik mungkin, jadi kita banyak rakan, ini baiknya kita sebagai sebuah negara yang bersahabat dengan banyak negara,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di Sepang hari ini.
Terdahulu, Mohamad meluangkan masa melawat pusat kawalan itu bagi mendapatkan penerangan lanjut daripada Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berhubung status terkini 23 rakyat Malaysia di Israel.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan ahli keluarga rakyat Malaysia yang ditahan supaya terus bersabar berikutan usaha membawa balik sedang giat dijalankan kerajaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perdana Menteri telah menelefon Presiden Turkiye dan mereka akan membantu membawa balik. Ada juga pihak lain dari Malaysia turut memberikan aku janji untuk sama-sama membantu,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Kedutaan Besar Malaysia termasuk di Jordan, Tukiye dan Cairo turut bersiap sedia bagi memberi bantuan dalam membawa keluar aktivis terlibat.
“Kita bersedia kalau mereka keluar dari Jordan (melalui pintu King Hussein), misi kita memang hari-hari berurusan dengan Kementerian Luar di Jordan dan mengikuti perkembangan terperinci rakyat Malaysia di sana.
“Kita juga bersedia di Turkiye dan Cairo, semuanya dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya memerlukan bentuk sokongan serta bantuan,” jelasnya. – UTUSAN