PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan defisit fiskal negara pada pembentangan Belanjawan 2026, Jumaat ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu dibuat ekoran negara berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi global dan ketegangan perdagangan antarabangsa yang memberi kesan langsung kepada ekonomi terbuka seperti Malaysia.
Katanya, ekonomi dunia kini terjejas akibat cukai tarif baharu yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) selain ketidaktentuan pasaran global yang boleh menjejaskan perdagangan antarabangsa.
“Kerajaan akan mengimbangkan keperluan meneruskan projek pembangunan strategik dengan tanggungjawab fiskal bagi mengelakkan peningkatan hutang negara.
“Banyak perkara global ini akan memberi kesan kepada kita. Sebab itu apabila kerajaan menyediakan belanjawan, saya percaya mereka juga akan berdepan perkara yang sama bagaimana kita mahu menyeimbangkan keperluan untuk terus mara ke hadapan sambil mengurangkan defisit sebagai sebuah negara,” katanya ketika ditemui selepas selepas merasmikan Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan ke-10 di sini, semalam.
Katanya, kerajaan kini berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan defisit.
“Dalam masa sama, kita juga mengambil maklum bahawa kedudukan ekonomi global juga terjejas dengan tarif yang dikenakan oleh AS dan ketidaktentuan yang berlaku dalam ekonomi dunia.
“Jadi kita sebagai sebuah negara terbuka yang terlibat secara langsung dalam aktiviti perdagangan, perkara ini akan menjejaskan kedudukan ekonomi,” katanya.
Belanjawan 2026 akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan esok sekali gus menandakan permulaan kepada Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang menggariskan dasar pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Pelaksanaan program tahun pertama di bawah Belanjawan 2026 perlu selari dengan kerangka besar RMK13 khususnya dalam menaikkan lantai dan mengawal siling supaya pertumbuhan ekonomi tidak meninggalkan golongan rentan. – UTUSAN










