“Vanidah Imran sudah berhijab?”
Itu persoalan dalam fikiran saat penulis membelek-belek laman Instagram aktres jelita, Vanidah Imran, 52.
Bukan satu dua, sebenarnya banyak gambar berhijab yang dimuat naik Vanidah di media sosialnya.
Ruangan komen pula tidak sunyi dengan respons netizen. Jika bukan pujian, paling tidak pun doa ‘dilangitkan’ agar Vanidah kekal berhijab.
Vanidah tidak pernah mengiyakan atau menidakkan spekulasi umum mengenai cerita dia dan penampilan bertudungnya.
Dalam kesempatan bertemu serampang dua mata sempena Malam Wakaf Rakyat 2025 (MAWAR 2025) baru-baru ini, Vanidah hanya memaklumkan dia masih dalam usaha memperbaiki diri.
“Ya, saya menghadiri usrah untuk mempelajari mengenai banyak perkara. Saya sedang berusaha menambah ilmu (agama),” katanya.
Vanidah bagaimanapun memilih untuk tidak mencanang mengenai usahanya mendalami ilmu agama di media sosial.
Bagi pelakon berdarah kacukan India Muslim dan jawa ini, bukan semua perkara perlu diceritakan kepada umum.
“Ada yang berpandangan, tidak salah berkongsi perkara baik di media sosial kerana tindakan itu mengajak orang lain kepada kebaikan.
“Tapi, pada saya, tidak perlulah saya tunjuk kepada umum yang saya pergi usrah.
“Saya ada cara sendiri mengajak ke arah kebaikan. Cukuplah saya pelawa sekali kawan-kawan saya hadir kelas agama.
“Yang berkelapangan, dialu-alukan, yang tidak, janganlah pula kita jatuh hukum ke atas mereka,” kongsinya.
Dalam pada itu, Vanidah juga meminta agar perilaku mengecam, menghukum dan menjatuhkan menerusi komen-komen kebencian di media sosial dihentikan.
“Semua perkara yang berlaku dalam kehidupan kita ini adalah ketentuan Allah S.W.T. Oleh itu, janganlah kita menjatuhkan hukum kepada mereka yang belum berhijrah kepada kebaikan.
“Kita selalu melihat luaran seseorang. Hakikatnya perjalanan hidup kita tidak sama dengan orang lain.
“Ramai kawan saya yang berubah menjadi baik. Malah sekarang mereka mengabdikan diri kepada Allah S.W.T.
“Jadi janganlah kita cepat menghukum orang lain kerana kita pun tidak tahu bagaimana pengakhiran hidup kita kelak,” kongsinya.-UTUSAN










