PETALING JAYA: Polis tidak menolak kemungkinan pelajar perempuan yang maut ditikam sebuah sekolah menengah di Bandar Utama pagi tadi mengenali suspek kerana berada di sekolah sama.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya , Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, bagaimanapun siasatan masih dijalankan dan setakat ini tiada unsur buli berhubung kes bunuh itu.
Katanya, pelajar lelaki berusia 14 tahun yang merupakan pelajar sekolah berkenaan sudah ditahan dan keterangannya akan diambil.
“Sudah tentu kita rasa mereka saling kenal walaupun berlainan tingkatan. Walaupun mereka tidak berkawan tapi mereka satu sekolah.
“Saya mengesahkan tiada unsur buli yang berlaku setakat siasatan polis pada saat ini. Kalau timbul perkara-perkara lain saya akan maklumkan.
“Kita akan jalankan siasatan lanjut selepas ini dan masih terlalu awal untuk (kenal pasti punca kejadian),” katanya ketika ditemui di Bandar Utama di sini hari ini.
Shamsudin berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan dalam proses mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan.
“Pegawai penyiasat saya masih lagi di sekolah. Sudah pastinya rakan-rakan mangsa ataupun suspek dan guru-guru akan diambil keterangan. Siasatan masih dalam tindakan pihak pasukan penyiasat,” jelasnya.
Terdahulu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut disyaki akibat ditikam seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah di Bandar Utama, hari ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dilaporkan berkata, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun telah ditahan polis bagi membantu siasatan.
Polis turut merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN