KUALA NERUS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menjalankan siasatan membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung beberapa dokumen tujuh pemain warisan buat masa ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata buat masa ini pihaknya belum memulakan sebarang siasatan kerana perkara itu masih dikategorikan sebagai isu teknikal antara FAM dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) termasuk melibatkan penggantungan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.
“Kita sudah dapat penjelasan daripada pihak FAM dan mendapati ia berkait dengan isu pengemukaan dokumen kepada FIFA.
“Namun jika selepas proses rayuan nanti timbul sebarang unsur yang mencurigakan, SPRM akan meneliti semula perkara itu,”katanya selepas menghadiri Majlis Tamat Latihan dan Penganugerahan Sijil Kadet Integriti Muda Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini hari ini.
Menurut Azam, buat masa ini SPRM menyerahkan sepenuhnya kepada FIFA untuk mempertimbang rayuan yang dikemukakan oleh FAM berhubung keputusan tersebut.
“Kita tunggu dahulu keputusan rayuan itu. SPRM tidak akan campur tangan selagi ia kekal dalam ruang urusan teknikal antara kedua-dua pihak,” katanya.
Azam turut menjelaskan bahawa SPRM mengambil kira pengesahan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkaitan status tujuh pemain terbabit yang menjadi punca kepada kekeliruan dan tindakan sementara ke atas FAM. – UTUSAN