KUALA LUMPUR: Tiada sebarang rekod rasmi menunjukkan tanah Kampung Sungai Baru yang menjadi pertikaian sebelum ini dikategorikan sebagai Tanah Rizab Melayu atau Malay Agricultural Settlement (MAS).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, ia berdasarkan semakan Pejabat Tanah Galian Wilayah Persekutuan Kuala Kuala Lumpur.
“Berdasarkan sejarahnya, tapak Kampung Sungai Baru terbentuk pada tahun 1967, iaitu tujuh tahun sebelum Kuala Lumpur diserahkan kepada Persekutuan.
“Kerajaan Negeri Selangor pada ketika itu menjajar dan meluruskan Sungai Klang yang terletak bersebelahan di kawasan tanah MAS bagi mengatasi masalah air bah di kawasan tersebut.
“Pengalihan laluan Sungai Klang ini melibatkan kawasan di sebelah kanan Sungai Klang, dari hulu sungai ke hilir. Setelah sungai tersebut diluruskan, maka wujudlah tanah baru yang dianggarkan seluas lebih kurang 16 ekar.
“Tanah baharu inilah yang dinamakan Kampung Sungai Baru tetapi tidak termasuk di dalam kawasan rizab MAS seluas 219.91 ekar,” katanya dalam sesi penerangan kepada ahli Parlimen di sini hari ini.
Menurut Zaliha lagi, tanah berkenaan kemudiannya dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor atau PKNS bertujuan untuk menambah penempatan orang Melayu di
sekitar Kampung Bharu.
Dalam pada itu, Zaliha berkata, pemilikan syarikat pemaju yang dipertanggungjawab dalam pembangunan Kampung Sungai Baru merupakan 100 peratus Malaysia dan menafikan dakwaan segelintir pihaknya kononnya ia dimiliki syarikat Singapura. – UTUSAN










