MARANG: Tiada sebarang arahan rasmi pernah dikeluarkan bagi menutup operasi pulau-pulau pelancongan di Terengganu ketika musim Monsun Timur Laut, tpdak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, perubahan teknologi dan peningkatan aspek keselamatan menjadikan operasi pelancongan pada musim tengkujuh kini lebih terkawal dan selamat.
“Malah, bot-bot yang digunakan hari ini jauh lebih moden dan selamat. Sekiranya keadaan laut mengizinkan, pengusaha bot boleh terus beroperasi seperti biasa tanpa sebarang halangan dari kerajaan negeri,” katanya ketika menghadiri Majlis Dialog dan Penyerahan Memorandum oleh Persatuan Peniaga dan Pengusaha Pelancongan Pulau Kapas dan Pulau Gemia, di sini.
Pada majlis itu, wakil persatuan terseut menyerahkan memorandum rasmi yang antara lain menyuarakan permohonan agar pengusaha bot pelancong diberikan kuota subsidi bersasar minyak RON95, selaras dengan peningkatan kos operasi harian yang semakin membebankan.
Razali berkata, amalan menutup operasi pulau-pulau pelancongan sekitar November hingga Januari adalah berdasarkan kebiasaan dahulu, namun situasi semasa telah berubah.
“Kita lihat sekarang meskipun musim monsun, masih ada aktiviti pelancongan yang berjalan, termasuk sukan air seperti papan luncur. Jadi pulau tidak semestinya perlu ditutup sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bot dan Pengusaha Resort Pulau Kapas dan Pulau Gemia, Zakaria Sulong berharap kerajaan dapat menyemak semula jumlah kuota subsidi minyak yang diperuntukkan kepada pengusaha bot pelancong.
Katanya, jumlah semasa sebanyak 300 liter sebulan adalah tidak mencukupi dan hanya mampu menampung penggunaan harian sebuah bot.
“Kami mohon kuota minyak tidak dihadkan kerana pengusaha bot menggunakan jumlah minyak yang besar setiap hari untuk tujuan operasi,” katanya. – UTUSAN











