TH turun padang jejak bakal jemaah 'hilang'

TH turun padang jejak bakal jemaah ‘hilang’

MOHD Na'im Mokhtar beramah mesra selepas Majlis Perasmian Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 dan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-42 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) akan menjejaki pendeposit yang gagal dihubungi untuk menyampaikan surat tawaran menunaikan haji musim 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, tindakan itu diambil susulan pihaknya mendapati terdapat bakal jemaah yang tidak mengemas kini maklumat peribadi termasuk alamat tempat tinggal dalam sistem TH.

“Masih ada jemaah yang tidak mengemas kini tempat tinggal mereka dan mungkin sudah berpindah ke lokasi lain.
“Saya dimaklumkan sendiri bahawa pegawai serta kakitangan Tabung Haji turun padang ke rumah jemaah yang sepatutnya menerima tawaran bagi tahun 2026,” katanya selepas merasmikan Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 dan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-42 di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Na’im, usaha itu penting bagi memastikan tiada bakal jemaah yang tercicir akibat kegagalan dihubungi, selain memudahkan proses pengesahan tawaran haji.

“Dengan cara ini, insya-Allah jumlah jemaah yang tidak memberi maklum balas terhadap tawaran haji dapat dikurangkan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 521 bakal jemaah haji bagi musim 1447H/2026M masih gagal dihubungi kerana tidak mengemas kini maklumat peribadi mereka.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata, kos bayaran haji bagi tahun hadapan masih sedang dimuktamadkan oleh TH dan tidak akan membebankan para jemaah sebelum surat tawaran dikeluarkan kepada jemaah terpilih.

Beliau berkata, prinsip utama TH dalam menentukan kadar bayaran itu adalah memastikan ia kekal munasabah serta tidak memberi tekanan kepada bakal jemaah haji, khususnya golongan berpendapatan rendah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN