KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan pelantikan 31 syarikat pelancongan yang diberikan lesen rasmi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim 1447H/2026M.
Ketua Jabatan Haji TH, Mohd. Hisham Harun berkata, Jawatankuasa Urusan Haji telah menilai 60 permohonan lesen sebelum memilih 31 syarikat itu berdasarkan keupayaan kewangan, pematuhan undang-undang, rekod pengurusan jemaah serta prestasi operasi terdahulu.
Bagaimanapun, katanya, jumlah itu menurun berbanding 37 syarikat yang diluluskan pada musim haji lepas.
“Pelantikan ini mencerminkan komitmen berterusan TH dalam memastikan PJH beroperasi mengikut piawaian, garis panduan dan syarat yang ditetapkan.
“Ia selaras dengan tanggungjawab TH sebagai peneraju urusan haji negara,” katanya dalam kenyataan.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pakej haji oleh pihak tidak berlesen.
Katanya, semakan perlu dilakukan bagi memastikan senarai rasmi PJH berlesen melalui portal TH di www.tabunghaji.gov.my.
“TH menegaskan bahawa sebarang tawaran haji oleh pihak tidak berlesen adalah menyalahi Akta Tabung Haji 1995 dan boleh dianggap sebagai penipuan (scam).
“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau agensi yang terlibat,” katanya.
Antara PJH yang diluluskan termasuk TH Travel & Services Sdn. Bhd., Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Rayhar Travels Sdn. Bhd. serta Zahafiz Travel & Tours Sdn. Bhd. – UTUSAN









