Terengganu tanggung subsidi bil air RM24 juta setahun

Terengganu tanggung subsidi bil air RM24 juta setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu hari ini mengumumkan pemberian subsidi bil air sehingga 30 peratus kepada pengguna domestik susulan pelarasan tarif baharu yang sebelum ini mencetuskan rungutan orang ramai.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zulkifli Ali berkata, keputusan dibuat selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bersidang semalam (Rabu) dengan mengambil kira beban tambahan yang terpaksa ditanggung rakyat.

Katanya, menerusi inisiatif itu, pengguna domestik Band 2 (21 hingga 35 meter padu) menikmati potongan sebanyak 30 peratus manakala pengguna Band 3 melebihi 35 meter padu pula diberikan subsidi sebanyak 15 peratus.

“Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM24 juta setahun bagi menanggung subsidi ini yang berkuat kuasa bagi bil air bulan November 2025. Seramai 78,807 akaun pengguna domestik Band 2 hanya perlu membayar 70 peratus daripada bil bulanan.

“Sebanyak 94,610 akaun Band 3 pula hanya membayar 85 peratus daripada jumlah sebenar,” katanya menerusi satu surat rasmi kepada Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU).

Zulkifli berkata, pelaksanaan itu selaras dengan peruntukan Seksyen 84(2)(a) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang menetapkan kadar tarif semasa perlu digunakan semua operator bekalan air.

Katanya, sebarang pindaan pula mesti diangkat kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk pertimbangan.

Beliau berkata, langkah itu juga diharap dapat mewujudkan situasi menang-menang antara rakyat dan SATU.

“Dengan adanya subsidi ini, kerajaan negeri berharap ia dapat membantu meringankan beban pengguna domestik selain memastikan SATU terus komited menyalurkan bekalan air yang stabil, berkualiti dan mampan kepada rakyat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN