SEPANG: Tekanan antarabangsa serta gelombang kebangkitan rakyat dunia termasuk Malaysia terhadap kekejaman rejim Israel menunjukkan kesan ketara, apabila proses rundingan berkaitan pembebasan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) mula berlaku dengan lebih cepat.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, soal jaminan keselamatan aktivis dalam misi GSF sememangnya rumit, namun usaha diplomatik dan tekanan global membuktikan kesan positif terhadap tindakan rejim Zionis.
“Apa yang perlu kita tahu, ini misi tanpa keganasan (non-violence), di atas kapal hanya ada masyarakat sivil.
“Seluruh dunia sekarang ini bukan saja bangkit, tetapi sedang memerhati setiap gerak geri yang dibuat oleh rejim Israel. Jadi atas faktor inilah saya lihat Israel mula membuat negosiasi itu lebih cepat.
“Kerana tekanan dunia yang telah diberikan, jadi saya kira ini adalah satu petanda bahawa apabila kita buat desakan, kita buat kebangkitan, kecaman dan sebagainya itu memberikan kesan langsung kepada rejim Israel,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas berhubung himpunan membabitkan rakyat Malaysia, Sani Araby menzahirkan penghargaan atas kebangkitan rakyat melalui demonstrasi dan perhimpunan aman.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya semua bentuk solidariti diadakan secara tertib dan selari dengan prinsip misi GSF.
“Kita semua pendokong Gaza, termasuk yang berhimpun dan juga pasukan keselamatan. Maka, tunjukkan kemarahan kita dengan cara yang bijak dan tidak menimbulkan provokasi,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kapal pemerhati Summertime Jong, Sani Araby memaklumkan bahawa kesemua sukarelawan yang berada di atas kapal berkenaan telah selamat mendarat di sebuah pelabuhan.
“Bagaimanapun, saya akan maklumkan pada malam ini, selepas mereka benar-benar sampai ke daratan,” katanya.
Empat rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Jong sebagai pemerhati di luar zon merah, iaitu Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Mazian Seman, Serieffa Mushtafa Albakry dan Ariff Budiman. – UTUSAN