Pementasan teater Sungai Mengalir Lesu (SML) yang diadaptasi daripada novel dengan judul yang sama karya Sasterawan Negara (SN) Datuk Seri A Samad Said, wajar dilihat sebagai meneruskan usaha penggiat teater tanah air mengangkat novel karya agung untuk dinikmati khalayak sastera.
Sehingga kini puluhan karya diangkat ke pentas teater melibatkan genre puisi, novel, cerpen dan drama.

Karya-karya agung ini diterbitkan dalam naskhah yang berat dan hanya peminat tegar sastera menikmati dalam medium asal seperti buku dan sebarang bentuk terbitan.
Kita perlu memberi tabik hormat kepada pelbagai pihak yang berusaha menjadikan karya karya ini muncul dalam bentuk seni pementasan terutama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Badan Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta aktiviti teater tempatan.
Novel karya agung Pak itu sudah pernah dipentakan sebelum ini dan novel SML dianggap antara karya terbaik beliau selepas Salina, dan pemilihannya untuk dipentaskan kali ini bertepatan dengan nilai MADANI yang menekankan perpaduan dan kemanusiaan.

Badan Budaya DBP merupakan sebuah produksi teater yang telah diasaskan oleh SN Datuk Dr. Usman Awang semasa beliau masih bertugas di DBP pada tahun 1967.
Tamu Di Bukit Kenny merupakan pementasan pertama oleh Badan Budaya DBP dan arahan Usman sendiri. Badan Budaya terus aktif dengan pementasan-pementasan yang lebih matang dalam karya-karya realisme.
Pementasan terakhir oleh Badan Budaya ialah Haji Murat” karya Leo Tolstoy yang diadaptasi oleh SN Datuk Dr. Anwar Ridhwan dan diarahkan oleh A. Wahab Hamzah dan Aris Othman.
Badan Budaya DBP juga berjaya melahirkan tokoh-tokoh besar khususnya dalam dunia teater tanah air seperti Tan Sri Johan Jaaffar, Anwar, Zakaria Ariffin, Sabri Yunus, Imuda, Abon, Bohari
Ibrahim serta beberapa orang yang juga mewarnai dunia seni tanah air.
Karya-karya realisme yang dipilih untuk dipentaskan menyerlahkan idealisme memang ditunggu-tunggu oleh peminat teater tanah air. Berbekalkan sokongan yang kuat oleh pihak Pengurusan Tertinggi DBP, maka Badan Budaya ini terus aktif serta melahirkan pemikiran-pemikiran yang kreatif dalam kelangsungan pementasan teater tanah air.rcakap dalam sidang media mengumumkan pementasan teater SML baru-baru ini Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Abang Haliman Abang Julai memberitahu, sehingga kini Badan Budaya telah mementaskan lebih daripada 54 buah teater yang berskala besar.

Sokongan dan kerjasama yang diberikan daripada Pengurusan DBP selama ini banyak membantu Badan Budaya mementaskan karya-karya hebat bagi perkembangan sastera tanah air khususnya.
Sementara itu, kerjasama antara Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan DBP pernah diadakan sebelum ini menerusi program Sanggar Puisi Perpaduan 2024: Perpaduan Dirai, Bahasa Disantuni.
Maka, PNM mengambil inisiatif meneruskan usaha tersebut menerusi projek pementasan karya sastera ke pentas teater. Ini kerana DBP merupakan badan utama yang menguruskan pemilihan, penilaian, dan penganugerahan gelaran Sasterawan Negara sebagai tanda pengiktirafan tertinggi kepada tokoh yang berjasa dalam bidang kesusasteraan.
PNM telah menerima kelulusan peruntukan di bawah Inisiatif Bajet ‘Ini Warisan Kita – Melestarikan Perpaduan’.
Pementasan teater SML bukanlah yang pertama kali diadakan, namun ia merupakan kali pertama dianjurkan oleh PNM dengan kerjasama DBP dan Persatuan Badan Budaya.
Timbalan Ketua Pengarah PNM Anisatul-Wahidah Abdul Wahid berkata, antara objektif utama pementasan teater koleksi Sasterawan Negara adalah untuk menghargai sumbangan besar mereka kepada khazanah sastera tanah air.
“Pementasan ini memberikan platform untuk menghayati karya-karya Sasterawan Negara yang terdapat dalam Koleksi Sasterawan Negara di PNM. Koleksi tersebut merangkumi manuskrip, naskhah dan dokumen berkaitan yang membolehkan generasi muda, penyelidik dan penggiat seni menelusuri proses kreatif serta nilai estetika dalam karya sastera,” ujarnya.
Matlamat yang lebih penting adalah memperkenalkan karya mereka kepada masyarakat dalam bentuk yang lebih segar dan dekat di hati penonton, justeru melalui pementasan teater.
Ia mengekalkan khazanah intelektual negara serta memperkukuh penghargaan terhadap sejarah, nilai kemanusiaan, dan kepelbagaian budaya.
Menurut pengarah teater SML Aris Othman, pada kali ini, karya tersebut ini diberikan nafas baharu dengan penampilan watak utama serta penambahan plot yang memperkaya peranan watak-watak sampingan.
Usaha mengangkat karya agung ke pentas teater ini turut mendapat respons positif Persatuan Teater Malaysia . Timbalan Presidennya Letfee Ahmad berkata, langkah mengadaptasi karya sastera seperti novel, cerpen dan puisi ke pentas teater sebagai satu usaha yang sangat tepat dalam memartabatkan kesusasteraan negara. Ia bukan sahaja memperkenalkan teks sastera kepada khalayak baharu, tetapi juga menghidupkan semula karya yang mungkin hanya dibaca dalam bentuk buku. “ Pementasan memberi dimensi baharu kepada kata-kata penulis. Puisi atau novel yang asalnya berbentuk teks kini diolah melalui visual, muzik, gerak dan emosi pelakon.
“Adaptasi membantu mendokumentasi dan mengekalkan warisan sastera, di samping menjadi bahan pembelajaran kreatif untuk generasi muda,” ujar Letfee. – UTUSAN










