KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan secara sinis mencadangkan supaya keempat-empat negeri pembangkang di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak diberikan peruntukan dalam Belanjawan 2026.
Sany berkata, permintaan itu dibuat atas rasional pihak pembangkang asyik mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan.
Beliau membuat permintaan itu ketika mencelah ucapan perbahasan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd. Shahar Abdullah semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) di Dewan Rakyat, hari ini.
“Saya hendak minta pandangan (Ahli Parlimen) Paya Besar, setuju atau tidak? Maksudnya Perdana Menteri jangan bagi bajet (peruntukan) kepada empat kerajaan negeri yang diperintah oleh pembangkang,” kata Sany.
Mohd Shahar yang juga Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (Backbenchers Club-BBC) bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana ia tidak menggambarkan cara Kerajaan Madani berurusan.
“Saya tidak setuju. Seteruk mana pun dihentam, kita mesti memastikan ‘kapal’ ini terus ke depan untuk rakyat, kerana dalam konteks melihat pembangunan, betul apa Yang Berhormat Tambun (Anwar) buat. Kelantan bagi, Kedah Bagi, Terengganu bagi, Pahang bagi juga, lebih banyak dari tempat lain.
“Ini kerana, ada dua jurang antara dua wilayah yang ‘dulu-dulu’ (kerajaan) tak buat, sekarang baru buat. Kalau buat dulu, tiadalah kami di Pantai Timur merasakan peritnya.
“(Yang Berhormat) Pasir Mas hendak balik ke Kuala Lumpur selepas ini sudah ada ECRL. Maknanya apa? Lepas ini, teruskan Tambun bagi peruntukan, bagi projek. Paling penting perbelanjaan disalurkan, dilaksanakan mesti memenuhi keperluan value for money dan mesti berasaskan kepada defisit yang berkurang walaupun perbelanjaan berkembang,” katanya.










