Suspek tikam pelajar perempuan didakwa ada masalah mental, KPM serah kepada PDRM

Suspek tikam pelajar perempuan didakwa ada masalah mental, KPM serah kepada PDRM

MOHD AZAM AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan kononnya suspek tikam seorang pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah di Selangor ada masalah kesihatan mental.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, perkara itu masih dalam siasatan polis.

“Tapi apa pun seperti yang saya tegaskan, apa pun berlaku yang mengancam keselamatan pelajar kita, kita di KPM tetap akan pandang serius,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sebelum ini, seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat di sebuah sekolah, maut selepas dipercayai ditikam seorang pelajar lelaki, pagi tadi.

Difahamkan, kejadian berlaku sekitar pukul 9.30 pagi, yang mana suspek, iaitu pelajar lelaki Tingkatan Satu (Peralihan) dipercayai membawa senjata tajam, dipercayai pisau ke sekolah.

Ditanya sama ada suspek pernah ada rekod jenayah atau masalah disiplin di sekolah, Mohd Azam berkata, perkara itu dalam siasatan polis.

“Yang ini dalam siasatan polis, saya percaya polis akan membuat siasatan dengan telus, adil dan seterusnya kita akan tunggulah laporan daripada pihak polis,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Azam menasihatkan orang ramai, khususnya warga maya, supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kes berkenaan.

“Semua pihak perlu menghormati undang-undang dan menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa. Saya nasihatkan, kita ada undang-undang, kita ada peraturan, lebih-lebih lagi apabila apa yang berlaku ini membabitkan anak-anak di bawah umur.

“Kita ada akta yang berkaitan dengan anak-anak bawah umur dan kita perlu kendalikan serta uruskan mengikut akta yang ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN