Surat tawaran haji dikeluarkan secara berperingkat bermula Jumaat

Surat tawaran haji dikeluarkan secara berperingkat bermula Jumaat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) mengeluarkan surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah bagi musim 1447H/2026M secara berperingkat bermula 24 Oktober ini.

TH menerusi kenyataan memaklumkan, bagi mereka yang belum menerima surat tawaran kerana belum tiba giliran, peluang mengemukakan rayuan haji akan dibuka bermula 3 November 2025 melalui platform digital THiJARI.

“Beberapa kriteria utama diambil kira dalam memproses permohonan rayuan, antaranya tempoh pendaftaran haji, umur, purata baki simpanan di TH serta kekerapan rayuan yang dibuat sebelum ini.

“Bakal haji diingatkan untuk memastikan simpanan mencukupi sekurang-kurangnya RM15,000 di akaun TH bagi melayakkan diri menerima tawaran atau membuat rayuan haji selain perlu lulus pemeriksaan kesihatan yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.

TH turut menasihatkan bakal jemaah agar mengemaskini maklumat peribadi terkini supaya tidak terlepas peluang menunaikan ibadah haji serta digalakkan memeriksa status giliran masing-masing melalui aplikasi THiJARI atau hadir ke cawangan TH terdekat.

Pada masa sama, TH memaklumkan Kursus Asas Haji mula dianjurkan di lebih 200 buah masjid di seluruh negara bermula 3 Oktober 2025.

“Kursus tersebut bertujuan membantu bakal jemaah mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan kefahaman lengkap mengenai ibadah haji sebelum berangkat ke Tanah Suci.

“TH sentiasa komited memastikan bakal haji mendapat bimbingan dan maklumat terkini bagi melancarkan persiapan ibadah haji mereka,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN