SEPANG: Sumud Nusantara kini sedang membuat persediaan untuk konvoi bantuan darat besar-besaran Malaysia ke Gaza sekiranya koridor kemanusiaan Rafah dibuka nanti.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, konvoi misi bantuan itu akan diatur gerak dengan dukungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Kerajaan Malaysia.
“Ini adalah mesej khas saya untuk seluruh rakyat Malaysia yang menjadi pencinta keamanan dan pendukung pembebasan Gaza dan Palestin.
“Misi Sumud Nusantara dan Global Sumud Flotilla (GSF) ini menjadi saksi dan bukti besar sejarah yang berjaya membangkit gelombang kesatuan kita semua.
“Misi ini membuktikan kita semua menpunyai hati nurani dan ehsan yang begitu tinggi hingga terserlah citra Malaysia yang peduli ummah tanpa mengira bangsa, agama serta perbezaan fahaman dalam hal kebaikan.
“Sesungguhnya Malaysia kita miliki cara dan gaya tersendiri untuk membebaskan Gaza dan Palestin hingga merdeka,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam ini.
Sebelum ini, Mohamad berpandangan agar segala penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dan Tebing Barat selepas ini perlu dibuat menerusi jalan darat.
Menurutnya, usaha itu boleh dilakukan susulan perkembangan terbaharu mengenai kesediaan Hamas menerima syarat gencatan senjata atau pelan damai yang di bawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Dalam pada itu, Sani Araby berkata, malam ini adalah sidang akhbar terakhir bagi misi GSF, namun menjangkakan sidang akhbar selepas ini adalah berkenaan misi gelombang seterusnya. – UTUSAN










