Sultan Mizan mahu institusi masjid terus diperkasa

Sultan Mizan mahu institusi masjid terus diperkasa

SULTAN Mizan  Zainal Abidin  berangkat merasmikan Masjid Kampung Jongok Batu, Dungun, Terengganu. - PEJABAT MENTERI BESAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan supaya masjid terus diperkasa sebagai pusat kemajuan ummah dan pusat tumpuan komuniti.

Baginda bertitah, masjid bukan hanya tempat beribadah, malah berfungsi sebagai pusat kebajikan yang membantu golongan memerlukan pertolongan.

“Pengaruh masjid dalam masyarakat masa kini boleh dilihat dari segi inisiatif sosial dan aktiviti yang dilaksanakan seperti program kebajikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi. 

“Pengupayaan institusi masjid sebagai pusat tumpuan komuniti perlu direalisasikan melalui perancangan teliti, penggubalan strategi  berkesan oleh jawatankuasa masjid dan masyarakat setempat,” titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan Perasmian Masjid Kampung Jongok Batu di Hulu Dungun di sini, hari ini. 

Berangkat sama Yang Dipertuan Muda  Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin. 

Sultan Mizan bertitah, Rasulullah SAW turut menjadikan masjid sebagai platform penyampaian ilmu pengetahuan, perpaduan, interaksi sosial dan penyaluran bantuan keperluan. 

“Program-program yang melibatkan pelbagai segmen masyarakat perlu dipertingkat. Aktiviti bersama anak seperti program bercerita dan remaja seperti memanah perlu diperbanyakkan. Pengurusan yang efisien dan kerjasama antara komuniti dan pihak pengurusan masjid penting untuk memaksimumkan potensi masjid sebagai pusat tumpuan komuniti dalam pembentukan masyarakat yang harmoni dan sejahtera,” titah baginda. 

Masjid Kampung Jongok Batu yang bernilai RM4.9 juta itu siap dibina pada 5 Januari 2020 bagi menhgantikan masjid lama yang dibina pada tahun 1950, ekoran pertambahan penduduk. Masjid dengan konsep moden, yang dibina di atas tanah berkeluasan kira-kira satu hektar itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk ruang solat utama, ruang solat terbuka, wakaf rehat, menara dan tempat wuduk itu dapat menampung kira-kira 500 jemaah dalam satu masa.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN