KUALA LUMPUR: Kerajaan mewujudkan Strategi Kebangsaan Anti Rasuah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi memperkukuh amalan integriti serta tadbir urus perniagaan dalam kalangan usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, objektif program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan usahawan PMKS mengenai kepentingan pengamalan etika dan integriti dalam perniagaan.
“Mekanisme pelaksanaan program akan diperincikan oleh Pasukan Petugas Khas yang diketuai oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi memastikan pelaksanaannya memberi impak dan manfaat yang optimum kepada usahawan PMKS,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ahmad Zahid berkata, antara syor yang dipersetujui untuk diperincikan di bawah Pasukan Petugas Khas tersebut adalah Pembentukan satu inisiatif yang dinamakan sebagai Strategi Kebangsaan Anti-Rasuah PKS bagi mendukung kejayaan Strategi Anti-Rasuah Nasional 2024-2028.
Beliau berkata, Pelaksanaan Pelan Tindakan Strategik Kebangsaan Anti Rasuah PKS diketuai oleh KUSKOP dan SME Corp serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan sokongan teknikal penuh daripada Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).
“Penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sebagai platform utama membantu PKS mempercepatkan dan menjimatkan kos pelaksanaan program anti-rasuah dan aktiviti yang berkaitan dan Penyediaan Rangka Perniagaan Strategik,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, mesyuarat juga dimaklumkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengenai prestasi semasa kemajuan Pelan Hala Tuju Memangkin Akses bagi PMKS dan syarikat peringkat pertengahan Malaysia (MTC) ke Pasaran Modal (2024 – 2028) di mana setakat 30 September 2025.
“Sebanyak 15 daripada 36 inisiatif yang terangkum di dalam MSME MTC Roadmap telah dilancarkan dan mencatatkan kadar pelaksanaan sebanyak 42 petugas, yang melebihi sasaran purata sebanyak 20 petugas setahun.
“Mesyuarat juga bersetuju supaya Suruhanjaya Sekuriti terus mempromosikan pasaran modal bagi meningkatkan kesedaran dan penyertaan dalam kalangan PMKS serta MTC.
“Ia termasuk menjalin kerjasama strategik bagi meluaskan akses pasaran modal dan mempertingkat penyaluran dana termasuk perkongsian data PMKS dan MTC oleh kementerian dan agensi,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan memberi tumpuan memperkasa golongan usahawan mikro agar mampu beralih kepada kategori kecil dan sederhana sekali gus meningkatkan sumbangan mereka terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata, terdapat 1,089 juta rakyat Malaysia terbabit dalam bidang keusahawanan. Daripada jumlah itu, hanya 71 peratus terdiri daripada usahawan mikro yang dilihat masih memerlukan dorongan serta sokongan strategik bagi meningkatkan keupayaan dan daya saing.
“Ini tidak mencukupi kerana kita mahu supaya mereka (usahawan mikro) dinaik taraf menjadi usahawan-usahawan kecil agar jumlah pengeluaran dan juga perkhidmatan yang mereka berikan itu akan mempertingkatkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya. – UTUSAN










