PETALING JAYA: Peningkatan jumlah keseluruhan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM15 bilion dalam pengumuman Belanjawan 2026 memanfaatkan sembilan juta penerima bagi membantu rakyat menghadapi kos sara hidup yang semakin mencabar
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kemasyarakatan & Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, PLC. Gs. Ts. Dr. Mohammad Mujaheed Hassan berkata, kini program itu dilihat semakin bersifat menyeluruh dan berfungsi bukan sekadar sebagai bantuan tunai, tetapi sebagai instrumen perlindungan sosial nasional terhadap tekanan kos sara hidup.
“Bantuan ini disalurkan secara kredit tanpa tunai melalui MyKad dan boleh digunakan untuk membeli barangan asas seperti beras, minyak, tepung, susu dan keperluan dapur lain di kedai berdaftar di seluruh negara.
“Pendekatan ini mampu memastikan bantuan digunakan untuk keperluan sebenar dan bukannya tujuan tidak produktif serta membantu memantapkan sistem data penerima kerana setiap transaksi melalui MyKad direkodkan secara digital.
“Dengan bantuan bulanan yang lebih konsisten, mereka kini memiliki sedikit ruang kewangan untuk bernafas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, dalam laporan awal pelaksanaan SARA pada tahun ini, lebih 1.7 juta penerima berbelanja RM110 juta dalam dua hari pertama bantuan diagihkan.
“Ini menunjukkan kadar penggunaan yang sangat tinggi dan membuktikan bahawa bantuan ini benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran yang memerlukannya.
“Selain memberi kelegaan kepada penerima, perbelanjaan tersebut turut merancakkan ekonomi mikro khususnya kedai runcit kecil dan pasar komuniti yang menjadi ejen MyKasih di seluruh negara,” ujarnya.
Mujaheed berkata, laporan media tempatan turut menunjukkan apabila peluasan SARA dilaksanakan pada 2025, Sabah muncul antara negeri dengan jumlah penerima tertinggi, berdasarkan bilangan isi rumah B40 yang tersenarai dalam pangkalan data e-Kasih.
“Ini tidak mengejutkan, memandangkan Sabah mempunyai kadar kemiskinan mutlak tertinggi di Malaysia dan bilangan besar isi rumah luar bandar yang berpendapatan rendah.
“Selain Sabah, negeri-negeri lain seperti Kelantan, Kedah dan Perlis juga dijangka mencatat bilangan penerima yang tinggi, sejajar dengan profil sosio ekonomi mereka yang masih banyak bergantung kepada bantuan kerajaan.
“Di sebaliknya, Selangor dan Kuala Lumpur pula mungkin mencatat jumlah transaksi tertinggi walaupun bilangan penerimanya lebih kecil, kerana kos sara hidup di kawasan bandar jauh lebih tinggi dan kadar penggunaan bantuan lebih aktif di pasar raya serta kedai berdaftar MyKasih.
“Bagaimanapun, berdasarkan semakan kepada sumber terbuka, belum ada data rasmi yang memecahkan bilangan penerima STR atau SARA mengikut negeri atau daerah,” katanya.
Beliau berkata, perluasan SARA memberi kesan positif kepada ekonomi tempatan, di mana apabila penerima menebus kredit di pasar raya dan kedai desa, perniagaan kecil turut mendapat manfaat.
“Ini bukan saja membantu penerima, tetapi juga peniaga, pembekal dan sektor pengangkutan.
“Lebih banyak urus niaga di luar bandar menghidupkan semula ekonomi komuniti serta mengagihkan kekayaan negara dengan lebih adil.
“Bantuan STR dan SARA juga membantu mengurangkan kemiskinan bandar, terutamanya di kawasan seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru di mana kos hidup meningkat lebih cepat daripada gaji,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tambahan SARA ‘one-off’ bernilai RM100 ialah langkah yang baik, namun pemantauan harga perlu dibuat dengan tegas, terutama menjelang minggu pengagihan.
“Peniaga tidak boleh mengambil kesempatan menaikkan harga barangan asas dan kerajaan perlu pastikan lebih banyak kedai berdaftar dibuka di luar bandar serta pedalaman Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, bantuan seperti SARA perlu digabung dengan program kemahiran dan peningkatan pendapatan supaya rakyat bukan sekadar bergantung kepada bantuan, tetapi mampu berdikari,” katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penerima STR akan menerima SARA sebanyak RM100 sebulan atau bersamaan RM1,200 setahun bermula tahun depan.
Sejuta penerima STR di bawah e-Kasih akan menerima SARA sehingga RM200 sebulan bersamaan RM2,400 setahun manakala kategori bujang pula akan menerima RM600 iaitu RM50 sebulan melalui SARA.
Kadar maksimum diterima isi rumah ialah RM4,600, iaitu pendapatan bawah RM2,500 sebulan dengan lima anak menerima STR RM2,200 dan SARA RM2,400.
“Peningkatan jumlah keseluruhan STR dan pemberian bonus SARA RM100 pada Februari depan amat melegakan, terutama bagi keluarga berpendapatan rendah.
“Sekarang harga barang dapur semua naik. Bila ada bantuan macam ni, sekurang-kurangnya dapat tampung belanja bulanan, terutama masa nak sambut Ramadan dan Tahun Baharu Cina nanti.”
Suri rumah penerima STR dan SARA, Rini Ryanti Iskandar
“Bantuan STR dan SARA tahun ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban, terutama dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Tahun hadapan pula, dengan bantuan tambahan SARA sebanyak RM100, saya sebagai penerima bujang merasakan langkah itu amat baik dan tepat kerana dapat membantu dari segi kewangan, khususnya menjelang musim perayaan.”
Pekerja swasta dan penerima SARA dari golongan bujang, Muhammad Zahin Zulkipli
“Bantuan tambahan SARA memberi kelegaan kepada golongan bujang yang turut terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.
“RM100 mungkin nampak kecil, tapi bila diterima pada waktu dekat perayaan, memang terasa bantuannya. Dapatlah kurangkan sedikit beban harian dan penambahan jumlah STR juga akan berikan banyak manfaat kepada penerimanya.”
Pekerja sambilan, Hidayah Khairul Muzil
“Tambahan SARA sebanyak RM100 tahun hadapan sememangnya dilihat mampu membantu mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
“Namun, akan lebih baik sekiranya bantuan seperti ini dapat dipertingkatkan nilainya dan disalurkan dua kali setahun supaya manfaatnya lebih dirasai rakyat.
“Bagaimanapun, peningkatan jumlah keseluruhan STR dan SARA yang diumumkan kerajaan sudah cukup membantu dan diharapkan pelaksanaannya terus diperluas serta lebih bersasar.”
Pekerja swasta, Bakhtiar Abu Serar – UTUSAN