Sokongan rakyat termasuk masyarakat Cina kekal bersama GRS: Nizam

Sokongan rakyat termasuk masyarakat Cina kekal bersama GRS: Nizam

Nizam (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada peserta Civil Defence Fun Run. - GAMBAR/BESSE AISYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Dakwaan bahawa sokongan masyarakat Cina di Sabah kini telah beralih kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) disifatkan sebagai pandangan peribadi semata-mata, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa sokongan rakyat Sabah secara keseluruhan, termasuk masyarakat Cina, kini semakin kukuh terhadap kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Itu cakap dialah. Saya pun boleh cakap juga bahawa bukannya masyarakat Cina tapi semua rakyat di Sabah ini memberikan sokongan yang kuat kepada kerajaan GRS,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Civil Defence Fun Run (CDFR) 2025 di Wisma Persekutuan Tawau (WPT) di sini, hari ini.

Semalam Mohd. Shafie memaklumkan bahawa kehadiran masyarakat Cina dalam majlis makan malam di Tawau membuktikan angin perubahan komuniti berkenaan kepada menyokong Warisan.

Nizam berkata, masyarakat kini semakin matang dalam menilai prestasi kerajaan, bukan sekadar mempercayai dakyah politik atau fitnah yang dimainkan oleh pihak tertentu.

“Kita tahu komuniti Cina sangat dekat dengan sektor ekonomi dan apabila aktiviti ekonomi negeri bertambah baik, sudah pasti itu menjadi tarikan kepada mereka untuk terus menyokong kerajaan,” katanya.

“Yang pasti, Insya-Allah rakyat akan membuat keputusan apabila tiba masa mengundi nanti. Kalau dilihat, ekonomi negeri kini semakin berkembang dan ini pastinya menarik minat masyarakat Cina yang aktif dalam sektor ekonomi untuk terus menyokong kerajaan,” jelasnya.

Beliau turut menyifatkan kenyataan Mohd Shafie sebagai cubaan politik semata-mata tanpa melihat kepada fakta sebenar pencapaian kerajaan semasa.

“Mungkin ada yang percaya dengan hasutan dan dakyah, tapi bagi mereka yang menutup mata dan tidak melihat fakta pencapaian negeri Sabah di bawah kerajaan hari ini, mereka tidak berlaku adil. Kita bermula daripada kosong, tapi kini banyak perubahan dapat dilihat,” katanya.

Dalam masa sama, Nizam turut mengingatkan bahawa kerajaan GRS mewarisi keadaan negeri yang mencabar selepas pentadbiran sebelum ini.

Beliau berkata, kerajaan pimpinan Hajiji kini fokus membangunkan negeri berasaskan acuan sendiri melalui pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang telah menunjukkan hasil positif dalam tempoh beberapa tahun ini.

“Sekarang ini rumah kita, kita jaga sendiri. Kitalah yang mencorakkan acuan terbaik untuk negeri Sabah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN