SEPANG: Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) telah berhubung dengan 20 daripada 23 orang aktivis Malaysia yang ditahan Israel.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya juga dimaklumkan, proses sama dengan tiga lagi aktivis akan dilakukan dalam masa terdekat yang mana kesemua mereka kini ditempatkan di Penjara Ketziot Rejim Israel.
“Mereka (aktivis) itu juga dinasihatkan oleh pihak ADALAH untuk menandatangani borang Request for Immediate Departure.
“Dalam tempoh 24 jam yang lalu, peguam daripada ADALAH telah bertemu dengan 331 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) di Pelabuhan Ashdod dan empat warga Itali telah dibebaskan.
“SNCC juga menerima laporan daripada ADALAH bahawa aktivis flotila pada awalnya telah dinafikan hak bertemu peguam,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, SNCC bersama kerajaan Malaysia kini berada dalam status siap sedia untuk membawa pulang semua 23 orang aktivis Malaysia sebaik sahaja menerima isyarat daripada kerajaan Turkiye yang menjadi penghubung utama dalam rundingan diplomatik rejim Zionis.
Pada masa sama, katanya, pihaknya menggesa seluruh rakyat Malaysia meneruskan sokongan kepada delegasi misi flotila ini dan melakasakan solat hajat, doa Qunut Nazilah supaya koridor kemanusiaan di Gaza dibuka.
Dalam perkembangan sama, Sani Araby berkata, barangan bantuan kemanusiaan yang dibawa bersama misi GSF dipercayai masih berada di kapal yang dipintas rejim Israel seperti beras, susu formula, air bersih dan ubat-ubatan. – UTUSAN