SEPANG: Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di sini menafikan dakwaan kononnya delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza diseksa oleh tentera rejim Israel.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Halim berkata, setakat ini tiada sebarang laporan bunyi tembakan diterima daripada pasukan misi berkenaan.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata, laporan kecemasan SOS diterima daripada delegasi Malaysia di atas kapal memaklumkan terdapat anggaran 10 buah kapal tentera rejim Israel menghampiri mereka.
“Intimidasi pertama dikesan berlaku pada kira-kira 1.20 pagi waktu Malaysia melibatkan dua kapal, Alma dan Sirius.
“Ketika kejadian, kapal terbabit berada di perairan antarabangsa iaitu kira-kira 80 batu nautika dari Gaza,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, SNCC dimaklumkan, tentera rejim turut melakukan provokasi dengan menyembur meriam air ke arah kapal serta menyekat semua akses komunikasi termasuk sistem rakaman litar tertutup (CCTV) dan siaran radio.
Sani Araby berkata, rejim Israel turut mengarahkan kapal menukar haluan dari destinasi asal ke Gaza, dan mengikut arahan radio menuju ke lokasi yang masih belum dapat disahkan.
Menurutnya, SNCC terus memantau situasi dari semasa ke semasa dan bekerjasama dengan agensi antarabangsa bagi memastikan keselamatan semua delegasi berada dalam keadaan terkawal.
“Kami juga mengesahkan tidak ada laporan menyatakan bahawa ada helikopter daripada atas kapal.
“Saya ulangi bahawa sehingga saat kini delegasi Malaysia terutama yang ditahan semuanya duduk dalam keadaan baik dan tidak ada yang cedera.
“Ketika kapal dipintas, peserta akan berkumpul di atas dek kapal dan kemudian angkat tangan untuk menyatakan bahawa kita adalah tidak bersenjata,” katanya.
Sebelum itu, katanya, kapten kapal akan memutuskan apabila tiba masanya untuk mereka (peserta) campakkan telefon pintar masing-masing ke laut sebagai sebahagian langkah prosedur operasi standard (SOP). -UTUSAN