SK Putrajaya Presint 11(1) dinobat pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia

SK Putrajaya Presint 11(1) dinobat pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia

FADHLINA Sidek (duduk tengah) bergambar bersama para guru dan pelajar SK Putrajaya Presint 11 (1) selepas Majlis Pengumuman Anugerah Sekolah Terbaik Dunia di PICC) di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) melakar sejarah apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia, sekali gus menobatkan Malaysia di pentas pendidikan antarabangsa.

Sekolah berkenaan diiktiraf menerusi kategori ‘Menyokong Kehidupan Sihat’ hasil inisiatif inovatifnya iaitu projek HELPIE, sebuah aplikasi mudah alih yang dibangunkan pada 2023 untuk meningkatkan kesedaran serta sokongan terhadap kesihatan mental dalam kalangan murid.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Yayasan Hasanah menganjurkan perhimpunan khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam bagi menyaksikan secara langsung detik bersejarah pengumuman pemenang dari seluruh dunia selepas sekolah ini berjaya disenaraikan 10 finalis bagi pengiktirafan berprestij itu.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pengiktirafan ini disifatkan sebagai bukti bahawa sekolah di Malaysia bukan sahaja mampu mengubah kehidupan pelajar di peringkat tempatan, malah menjadi inspirasi kepada perubahan global dalam bidang pendidikan.

“Kita menunjukkan bahawa sekolah kita boleh menghasilkan sesuatu yang sangat bermanfaat bukan sahaja untuk anak murid, tetapi mendapat pengiktirafan dunia.

“Peranan guru-guru juga menjadi pembimbing yang konsisten daripada awal, memastikan bahawa potensi anak-anak dan aplikasi yang dibangunkan itu adalah sangat menakjubkan.

“HELPIE ini tujuannya untuk menangani isu kesihatan mental yang bagi saya ketika ini sangat kritikal untuk ditangani bersama dan bagaimana dapat membantu keseluruhan ekosistem sekolah,” katanya di sini semalam.

Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang diasaskan oleh T4 Education merupakan pengiktirafan tertinggi dalam bidang pendidikan, meraikan sekolah-sekolah yang berjaya membawa impak positif kepada masyarakat.

Sejak diperkenalkan pada 2022, ribuan sekolah dari seluruh dunia telah menyertainya, namun hanya 50 sekolah dipilih sebagai finalis dan 10 mara ke peringkat akhir bagi edisi 2025.

Menurut guru pembimbing inovasi sekolah tersebut, Mohd. Saharudin Setapa, lebih 1,000 murid telah mendapat manfaat daripada gabungan aplikasi itu dengan kempen rakan sebaya di bilik darjah.

“Kita dapat lihat kesan positif daripada kalangan murid apabila mereka lebih yakin dan berani ketika bercerita masalah sekali gus cuba menyelesaikannya untuk mengurangkan kadar kesihatan mental.

“Ini satu pencapaian membanggakan bagi kumpulan kami, murid-murid membantu saya bermula 2020 bersama untuk sampai ke tahap paling tinggi. Malah, pada 2024, projek ini pernah meraih Anugerah Sekolah Paling Sihat AIA Peringkat Serantau di Bali, Indonesia,” katanya.

Sementara itu, ketua projek HELPIE, Muhammad Muhriz Marzuki berkata, idea untuk membangunkan projek aplikasi ini untuk membantu kawan-kawan mengawal tekanan masing-masing kerana banyak tugasan perlu disiapkan di sekolah.

“Aplikasi ini mempunyai pelbagai fungsi seperti permainan dan bahan-bahan bacaan diterjemah dalam bentuk digital supaya dapat menarik minat pelajar. Kami belajar buat coding untuk cipta aplikasi ini dalam tempoh tiga bulan.

“Kami amat gembira apabila rata-rata kawan-kawan yang menggunakan HELPIE mengakui mereka suka dan dapat mengurangkan tekanan,” katanya.

HELPIE turut selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, sekali gus menyampaikan mesej global tentang kepentingan daya tahan emosi serta penjagaan kesihatan mental generasi muda.

Sebagai pengiktirafan lanjut, tiga wakil sekolah berkenaan akan menghadiri Sidang Kemuncak Sekolah Dunia 2025 yang dijadual berlangsung dari 13 hingga 20 November di Yasmina British Academy, Abu Dhabi.

Bertemakan “Leadership for a Better World”, persidangan itu bakal menghimpunkan pemimpin pendidikan, inovator serta pembuat dasar dari seluruh dunia, selain menyaksikan pelancaran sulung Global EdTech Prize. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN