PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur sistem pendidikan negara yang menurutnya terlalu menumpukan kepada pencapaian akademik semata-mata sehingga mengabaikan peranan asas membentuk nilai moral dan kemanusiaan dalam diri pelajar.
Beliau menegaskan, warisan pendidikan yang terlalu berpaksikan pemikiran Barat menyebabkan generasi baharu lebih menilai kejayaan dari segi material dan penguasaan modal, bukan pada dimensi nilai dan akhlak.
Anwar berkata, jika sistem pendidikan barat dijadikan contoh, pendekatannya perlu difahami secara menyeluruh dan tidak boleh dicedok secara separuh kerana akan menimbulkan ketidakseimbangan dalam pembinaan pemikiran generasi muda.
“Kita mewarisi satu sistem pendidikan dan pemahaman ekonomi terikat dengan pola pemikiran para ekonomi barat.
“Kalau pun nak ambil di barat, ambil keseluruhannya. Kalau dicedok hanya yang dominan pemikirannya iaitu kapitalisme sebagai ideologi, maka kefahaman anak-anak kita akan terpengaruh,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.
Menurut Anwar, kelemahan ketara sistem pendidikan masa kini ialah kecenderungan mengukur kejayaan hanya berdasarkan keputusan akademik tanpa memberi ruang kepada pembentukan nilai moral dan etika.
“Pendidikan hanya berasaskan pengetahuan. Bukan nilai, bukan prinsip moral dan etika. Jadi ada kelemahan,” katanya.
Anwar berkata, apabila sistem pendidikan tidak menekankan nilai dan empati, masyarakat akhirnya berdepan pelbagai masalah sosial termasuk gejala buli yang semakin membimbangkan di sekolah.
“Ini baru saya umum (Belanjawan 2026) hari Jumaat, dah umum pasal usaha menangani buli, keputusan sudah dibuat. Menteri sudah sebut. Tapi berkalu lagi rogol di sekolah,” katanya.
Beliau menegaskan, gejala seperti itu membuktikan pendidikan negara belum berjaya membina manusia yang memahami makna empati, tanggungjawab dan keinsanan.
“Pembangunan ini haruslah pertama memacu pertumbuhan, tetapi konsep untuk apa? Untuk pembangunan manusia seutuhnya,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, pembangunan insan mesti berpaksikan keseimbangan antara ilmu, akhlak dan moral agar melahirkan generasi yang bukan sekadar cemerlang akademik, tetapi juga berjiwa adil dan berperikemanusiaan.
Anwar berkata, sistem pendidikan yang berpaksikan nilai Islam seperti keadilan, ihsan dan kepedulian terhadap golongan miskin perlu dijadikan asas agar pelajar memahami tujuan sebenar ilmu dan kemajuan.
Katanya, pendidikan yang berjaya bukan sekadar membina ekonomi negara, tetapi membina manusia yang berakhlak, bermoral dan menolak budaya materialistik.
“Bangunan manusia seutuhnya ditetapkan juga oleh nilai. Bukan materialisme, bukan modal, tapi nilai,” katanya. – UTUSAN