HULU SELANGOR : Polis menumpaskan satu penipuan ‘Fly By Night’ yang aktif menipu syarikat pembekal barangan menggunakan resit pembayaran palsu sejak awal Jun tahun ini dengan penahanan lima ahlinya.
Penahanan kesemua suspek dilakukan dalam dua siri operasi oleh Polis Selangor baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, menerusi operasi pertama pada 26 September lalu, tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 53 hingga 58 tahun di hadapan sebuah pusat servis kereta di Bandar Mahkota Cheras pada pukul 2.15 petang.
Katanya, pelbagai barangan yang dicuri dirampas terdiri plastik pembungkus, baja sawit, barangan dapur, silinder gas, pendingin udara, pemampat udara, minyak enjin, minyak hidraulik, cat, salutan cat penebat haba dan sebuah sebuah lori.
“Hasil daripada penahanan tersebut, telah membawa kepada sebuah gudang simpanan yang terletak di Kajang.
“Gudang itu digunakan sindiket untuk menyimpan barangan yang diperoleh daripada mangsa-mangsa penipuan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di sini hari ini.
Katanya, penemuan pelbagai barangan di gudang tersebut telah membantu pihak polis menyelesaikan enam kes penipuan di Selangor yang melibatkan kerugian sebanyak RM166,338.10 selain dua kes penipuan di Perak yang melibatkan kerugian sebanyak RM55,515.70.
Shazeli berkata siasatan lanjut membawa kepada penangkapan dua lagi ahli sindiket terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dan seorang lelaki warga Pakistan berusia 30 tahun.
“Jumlah itu menjadikan keseluruhan yang ditahan seramai lima orang. Semakan rekod jenayah mendapati tiga daripada lima tangkapan mempunyai rekod lampau bagi kesalahan menipu,” jelasnya.
Katanya, semakan mendapati tangkapan keempat mempunyai rekod di bawah Akta Penapisan Filem dan Akta Dadah Berbahaya manakala warga Pakistan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Ujian saringan air kencing juga mendapati tangkapan kedua dan ketiga adalah positif dadah jenis Methamphetamine.
“Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 8 Okt bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Shazeli memaklumkan modus operandi sindiket adalah dengan membuat pesanan pembelian melalui panggilan telefon kepada syarikat (mangsa) dan kemudian menyerahkan resit palsu sebagai bukti kononnya pembayaran telah dibuat.
“Sindiket juga akan menggunakan khidmat syarikat pengangkutan untuk mengambil barangan dari syarikat mangsa.
“Tetapi meminta syarikat pengangkutan menurunkan barangan tersebut di lokasi yang berlainan dari alamat yang diberikan dan seterusnya menjual semula barangan tersebut dengan potongan 50 peratus daripada harga asal,” katanya..
Sehubungan itu, Shazeli menasihati pemilik syarikat supaya memastikan bayaran daripada pelanggan telah disahkan diterima sebelum sebarang barangan pembelian dilepaskan bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan sindiket seperti itu.-UTUSAN









