Shahidan ‘penyelamat’ PN Perlis

Shahidan ‘penyelamat’ PN Perlis

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pelantikan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Pen­gerusi Perikatan Nasional (PN) negeri menggantikan Mohd. Shukri Ramli merupakan langkah tepat dalam mengembalikan kehormonian dan kekuatan gabu­ngan itu dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pengalaman dan pengaruh kuat bekas Menteri Besar dari 1995 sehingga 2008 itu tidak boleh dinafikan dan kehadiran beliau mengepalai PN Perlis amat diperlukan dalam misi gabungan berkenaan mempertahankan kerajaan negeri pada pilihan raya akan datang.

Menteri Besar dalam reaksi mengenai pelantikan Shahidan menggantikan beliau turut me­nyatakan keyakinan terhadap Ahli Parlimen Arau itu memimpin PN seterusnya memastikan gabungan itu terus kekal mentadbir Perlis.

“Semoga dengan pelantikan ini, Datuk Seri (Shahidan) akan terus memimpin dan memper­kukuh perpaduan serta kekuatan PN di negeri ini, sekali gus memastikan pentadbiran PN te­rus kekal mentadbir Perlis dan membawa kejayaan dalam PRU16 kelak,” katanya.

Shahidan telah membuktikan pengaruhnya masih kuat dalam arena politik negara apabila baru-baru ini menang pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat bagi sesi 2025/2027 meskipun beliau baharu dua tahun me­nyer­tai Pas.

Malah, pengaruhnya itu juga berjaya membantu PN merampas negeri ini buat pertama kali dalam pilihan raya umum (PRU) lalu dan kini kembali menjadi sandaran untuk membawa gabungan tersebut sekali lagi mempertahankan Perlis.

Shahidan yang bakal menjadi panglima perang PN Perlis dalam menghadapi PRU16 itu dijangka bakal memberi kesukaran kepada pihak lawan yang sedia maklum mengenai keupayaannya.

Bagi Mohd. Shuki pula, tum­puannya kini dilihat lebih terarah kepada pentadbiran negeri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Shahidan berkata, beliau akan melakukan yang terbaik bagi memastikan PN kekal mentadbir Perlis dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, beliau akan menyusun semula struktur kepemimpinan PN Perlis selepas ini bagi memastikan gabungan tersebut kukuh dalam berdepan PRU16.

“Terima kasih kepada kepe­mimpinan tertinggi PN yang memberi kepercayaan kepada saya dan saya akan melakukan yang terbaik bagi memastikan kerajaan PN terus kekal di Perlis. Tanggungjawab ini amat besar dan antara amanah utama saya ialah memastikan PN terus me­ne­rajui kepimpinan di negeri pada PRU16.

“Saya berharap semua pihak di Perlis bersama-sama membantu dan menyokong saya dalam menggalas tanggungjawab ini. Kita kembali ke meja rundingan kerana perbezaan pendapat yang tidak diurus dengan baik hanya membawa kepada perpecahan dan kekalahan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Bersatu negeri, Izizam Ibrahim pula berkata, pelantikan Shahidan sebagai Pengerusi PN Perlis itu diharap dapat membantu memperkukuhkan perpaduan serta memperkemaskan gerak kerja PN di Perlis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN