‘Setiap ujian ada hikmahnya’

‘Setiap ujian ada hikmahnya’

MOHD. Hafiz Yusoff (dua dari kanan) melihat kerusi roda elektrik yang disumbangkan kepada Muhammad Nor Syahidan Abdul Manaf pada majlis penyerahan kerosi roda di UniSZA, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Semangat dan sikap tidak menyerah kalah mahasiswa tahun satu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhammad Nor Syahidan Abdul Manaf, walaupun diuji dugaan berat menjadi inspirasi kepada warga universiti itu untuk mengharungi kehidupan.

Dia yang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah) dengan Kepujian, Fakulti Kontemporari Islam berdepan kesukaran bergerak akibat kemalangan jalan raya pada 2022.

“Allah tidak pernah salah menyusun hidup kita. Kita cuma perlu terus berusaha dan yakin setiap ujian pasti ada hikmahnya,” katanya selepas menerima sumbangan kerusi roda elektrik daripada Yayasan Pendidikan MAIDAM sebagai inisiatif membantu pergerakannya di kampus.

Menurut Muhammad Nor Syahidan, kemalangan pada 23 Jun 2022 di hadapan restoran di Rusila, Marang, menyebabkan kecederaan serius pada bahagian femurnya, patah pada ulna dan beberapa jari tangan kiri.

Kini, beliau masih menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

“Alhamdulillah, kesihatan saya semakin baik cuma kaki saya masih tidak boleh berpijak sepenuhnya dan jari tengah tangan kiri agak terbatas untuk digerakkan. Kadangkala susah juga bila perlu berjalan jauh ke kelas atau menulis lama,” katanya.

Ujarnya, bantuan kerusi roda elektrik itu amat bermakna dan memberi kelegaan besar untuk memudahkan urusan hariannya sebagai pelajar universiti.

“Saya sangat berterima kasih kepada pihak Yayasan Pendidikan MAIDAM dan pihak universiti atas keprihatinan mereka. Walaupun nampak kecil pada pandangan orang lain tetapi besar maknanya untuk kami yang serba kekurangan,” ujarnya penuh syukur.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA, Prof. Datuk Dr. Mohd. Hafiz Yusoff me­ngucapkan terima kasih kepada Yayasan Pendidikan MAIDAM atas keprihatinan mereka.

Katanya, pemberian kerusi roda elektrik itu bukan hanya sekadar simbolik tetapi satu manifestasi kasih sayang dan tanggungjawab bersama dalam membantu pelajar seperti Muhammad Nor Syahidan untuk mengatasi cabaran dalam perjalanan akademik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN