SEPANG: Menyembunyikan dadah di dalam kotak berlabel jenama tuala premium sebelum membungkusnya dengan plastik kedap udara bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Itu antara cubaan empat kes penyeledupan keluar dadah untuk pasaran Eropah yang berjaya digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melibatkan cubaan menyeludup dadah jenis bunga ganja berskala besar seberat lebih 1,000 kilogram (kg) bernilai RM98 juta.
Pengarah Kastam (Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Kuala Lumpur, Zulkifli Muhammad berkata, kejayaan itu juga hasil tindakan pantas Bahagian Penguatkuasaan JKDM dan dengan beberapa agensi keselamatan lain termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
“Hasil siri operasi berasingan di sekitar Lembah Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia antara 35 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, kes pertama direkodkan pada 1 Oktober lalu susulan penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 60-an di KLIA Terminal 1 selepas disenarai hitam kerana tunggakan duti dan cukai.
Zulkifli berkata, pemeriksaan ke atas bagasi lelaki itu berjaya menemui 21.04 kg bunga ganja bernilai kira-kira RM2.06 juta.
“Suspek bagaimanapun sudah dituduh di mahkamah baru-baru ini,” katanya.
Bagi kes kedua pula, Zulkifli berkata, rampasan dilakukan pada 27 September lalu di pintu masuk eksport apabila pasukan penguat kuasa mengesan 21 bungkusan dadah seberat 220.32 kg bernilai RM21.59 juta dalam lori kurier yang hendak memasuki Zon Bebas KLIA untuk dieksport ke sebuah negara Eropah.
Sementara itu katanya, kes ketiga direkodkan pada 29 dan 30 September lalu membabitkan serbuan ke atas dua gudang logistik di Shah Alam dan Subang Jaya.
“Kami berjaya menemui menemui 52 kotak bungkusan dadah daripada empat konsainan berbeza, dengan berat keseluruhan 464.58 kg dan nilai dianggarkan RM45.53 juta,” katanya.
Katanya, kes keempat pula menyaksikan rampasan 294.35 kg bunga ganja bernilai RM28.85 juta di pintu masuk eksport Zon Bebas KLIA pada 3 Oktober lalu yang menggunakan lori kurier untuk membawa keluar 28 bungkusan dagangan ke luar negara.
Jelasnya, seramai empat lelaki berusia antara 35 hingga 40 tahun membabitkan pemandu lori kurier dan pemilik gudang logistik ditahan bagi membantu siasatan dalam kes kedua, ketiga dan keempat.
“Kesemua rampasan ini menunjukkan masih ada pihak yang cuba mempergunakan kemudahan logistik dan kurier antarabangsa untuk tujuan penyeludupan,” katanya. – UTUSAN