PETALING JAYA: Festival Kopi Selangor (SELCOFF) 2025 menghimpunkan lebih 30 pengusaha kopi dari seluruh Selangor bagi memperkenalkan jenama tempatan kepada pasaran serantau dan global.
Festival kopi terbesar anjuran Kerajaan Negeri Selangor menerusi Tourism Selangor yang dijadual berlangsung selama tiga hari bermula semalam turut melibatkan penyertaan pemain industri dari enam negara serantau termasuk Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam, Kemboja dan Filipina.
Kira-kira 30,000 pengunjung dijangka membanjiri festival berkenaan merangkumi komuniti pencinta kopi, penggiat industri makanan dan minuman, barista profesional, usahawan muda serta pelancong tempatan dan antarabangsa.
Antara acara menarik sepanjang festival termasuk bengkel penyediaan kopi, pertandingan barista, sesi rasa kopi, jualan produk kopi tempatan, serta aktiviti seni dan muzik bertemakan kopi.
Acara kemuncak, ASEAN Barista Championships akan mempertemukan barista terbaik Asia Tenggara dalam saingan serantau yang memberi peluang kepada barista tempatan menimba pengalaman dan ilmu daripada pakar kopi antarabangsa.

Penganjuran festival itu bukan sahaja bertujuan mempromosikan keistimewaan kopi tempatan, malah menjadi platform perkongsian ilmu, teknologi dan strategi pemasaran antara usahawan kopi tempatan dengan pemain industri serantau.
Pengurus Jabatan Acara Tourism Selangor, Faroul Mustaffa, berkata, festival tersebut merupakan acara pertama berkonsepkan kopi yang dianjurkan oleh kerajaan negeri untuk memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab pelancongan gaya hidup dan gastronomi.
Katanya, penganjuran SELCOFF 2025 juga dijangka mencatat nilai jualan antara RM2 juta hingga RM3 juta sepanjang tiga hari berlangsung dengan penglibatan aktif usahawan kopi serta jenama antarabangsa dari serantau ASEAN.
“Kita sebenarnya menghimpunkan para usahawan kopi dari sembilan daerah di negeri Selangor. Dalam program tiga hari ini, ada wakil-wakil usahawan daripada semua daerah yang turut serta.
“Selain itu, usahawan di bawah PLATS Selangor yang sedang mengikuti latihan turut diberi peluang untuk bersama-sama dengan para usahawan kopi yang telah berjaya khususnya dalam perkongsian ilmu dari segi teknologi dan pemasaran,” katanya.
Ashraf berkata, SELCOFF 2025 bukan sekadar medan pameran kopi tetapi turut menonjolkan elemen gaya hidup dan pelancongan moden yang semakin sinonim dengan masyarakat masa kini.
Katanya, budaya menikmati kopi kini telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat, bukan sekadar minuman harian tetapi juga aktiviti sosial dan pengalaman pelancongan yang semakin mendapat sambutan.
“Trend orang muda sekarang menjadikan kopi sebagai sebahagian daripada gaya hidup mereka. Kopi bukan sekadar minuman, tetapi juga elemen untuk berehat, berinteraksi dan menikmati suasana santai.
“Jadi, kita melihat SELCOFF 2025 ini sebagai satu program yang bukan sahaja mengangkat industri kopi, tetapi turut memperkukuh elemen pelancongan gaya hidup di Selangor,” katanya.
Sementara itu, pengusaha Ichi Coffee, Muhammad Ezam Norhamidi, 25, berkata, penyertaan dalam SELCOFF 2025 memberi peluang terbaik untuk memperkenalkan cita rasa dan identiti kopi tempatan kepada masyarakat serta pelancong luar.
Katanya, festival berkenaan bukan sahaja membuka ruang pemasaran yang lebih luas, malah menjadi wadah untuk memperkukuh rangkaian antara pengusaha kecil dan pemain industri serantau.
“Kelebihan SELCOFF ini beri peluang kepada pengusaha kecil untuk memperkenalkan jenama sendiri kepada orang ramai sekali gus membuktikan kita juga mempunyai kualiti yang mampu menyaingi produk luar.
“Kita tidak menjangkakan sambutan yang besar, tapi diharapkan dengan kehadiran pengunjung hari ini serta pemberian sampel percuma, sekurang-kurangnya lebih ramai orang dapat mengenali kedai kopi kami.
“Selain itu, ia turut memberi peluang kepada pengusaha kecil seperti saya untuk berkongsi pengalaman serta belajar daripada barista profesional dan pakar kopi antarabangsa,” katanya.
Menurut Muhammad Ezam, Ichi Coffee mengetengahkan konsep specialty coffee yang menggunakan biji kopi tempatan terpilih dengan kaedah bancuhan yang mengekalkan rasa asli dan seimbang.
Katanya, penyertaan dalam festival itu juga menjadi medan untuk memperkenalkan keunikan aroma serta karakter kopi tempatan kepada masyarakat yang semakin menghargai kualiti dan seni penyediaannya.
“Kami mahu orang tahu bahawa kopi tempatan juga mempunyai rasa tersendiri, ada keunikan pada aroma, kepekatan dan pengalaman menikmatinya.
“Saya percaya penganjuran festival ini dapat mengangkat martabat kopi buatan tempatan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN