“Engkau dah gila mahu jadikan aku yang tua ini ‘cover’ Pancaindera?”
Sempat kedengaran di hujung corong telefon, pekikkan ‘maut’ daripada pengarah dan penerbit tersohor tanah air ini apabila saya melayangkan hajat tersebut tempoh hari.
Bukan apa, dia benar-benar tidak percaya bahawa di usia 57 tahun, dirinya diberi peluang untuk beraksi lagi di hadapan kamera sebagai penghias muka depan sisipan akhbar Mingguan Malaysia.
Walhal, ada ramai lagi artis dan selebriti jelita yang boleh mengisi tempat itu.
“Mengapa tidak? Yang tua inilah yang ada ‘isinya’,”seloroh saya cuba mewarnai suasana.
Bagaimanapun, harus diakui, memang seorang Erma Fatima ini seakan ‘sesuatu’ di mata kebanyakan ramai orang.
Lihat sahajalah karya-karyanya yang telah dihasilkan, tidak keterlaluan jika dikatakan kesemuanya memiliki intipati dan mesej kuat yang begitu mind-blowing, berani.
Mahu cari di mana lagi pengarah dan penerbit seperti ini? Bagaikan satu dalam sejuta, Erma telah berada di satu kedudukan tersendiri yang tentunya jauh meninggalkan aspek populariti.
Tetapi terbit satu persoalan di minda, apakah sebenarnya misi dan perjuangan Erma dalam industri seni perfileman dan drama tempatan ini? Begitu dekat dan tajam Erma melontarkan kritikan sosial dalam karya-karyanya dengan antara yang terbaharu menerusi drama Ibu Aji yang ditayangkan di aplikasi digital Karya Reels.
“Kalau ditanya, saya memang tidak boleh jawab. Sebab ini bukan kerana saya mahu mengejar apa-apa, saya tidak berminat lagi dengan dunia. Tetapi, bangsa aku, masyarakat aku, agama dan negara aku.
“Setiap hari,kalau tanya pasal kes, saya boleh jawab. Sebab, saya membaca semua kes yang berlaku. Saya berani buat karya-karya sebegini, menyentuh mengenai pelbagai isu tabu dan sensitif di Malaysia, bukan sebab saya hendak jadi hero.
“Sebab, saya sudah jadi hero dalam industri sebelum ini. Ya, kalau hendak cerita bunyinya memang biadab dan riak, Tetapi, awak tengok sendiri, mana ada pengarah perempuan yang dapat anugerah sebanyak saya?
“Mana ada aktres yang dapat anugerah sebanyak saya? Pelakon Terbaik, Pelakon Pembantu Terbaik, Pengarah Terbaik, semua itu saya sudah tidak perlu dah untuk jadi hero,”katanya.
Menyambung bicara, kata Erma, apa yang dilakukannya sekarang adalah satu usaha untuk menyelamatkan masyarakat yang baginya semakin parah dan ‘sakit’ dengan kelalaian jiwa dan duniawi.
“Dalam keadaan sekarang ini, kita boleh lihat, masyarakat yang makin ‘sakit’, makin tenat. Sebab itu, kalau orang kata saya cuba hendak jadi hero sekalipun, apa saya dapat? Saya mati nanti baru saya dihargai.
“Itulah nasib orang seni, sama macam Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Walaupun sekarang ini siapa-siapa pun boleh dapat gelaran Datuk atau Tan Sri bukan? Artis yang tidak ada sumbangan pun boleh dapat. Tetapi apa ada dengan gelaran? Semangat sebenarnya adalah apa?
“Orang seni tidak pernah dihargai pun sebenarnya dan sesungguhnya, apabila anda kehabisan kreativiti, semudah itu anda dibuang.
Jadi, kalau hendak tahu, tunggu sahajalah momen itu terjadi pada diri saya sendiri sebab perkara itu akan berlaku. Deretan anugerah yang ada pun sekadar jadi besi buruk yang ditinggalkan di rumah,”katanya.
Ini yang ditinggalkan untuk industri
Dalam pada itu, Erma mengakui, soal mengejar populariti itu tidak lagi wujud dalam kamus hidupnya.
Jelas Erma, apa yang kini lebih difikirkannya adalah soal pengakhiran hidup serta apa yang mampu dibawa sebagai bekalan apabila meninggalkan dunia kelak.
“Kita kena fikir tentang pengakhiran. Allah beri saya bakat menulis, mengarah, berlakon dan menghasilkan karya. Jadi, apa yang saya mahu bawa nanti adalah seni yang ada nilai untuk agama.
“Supaya bila ditanya dalam kubur kelak, saya boleh jawab ini karya saya, ini yang saya buat untuk agama. Sebagai orang seni, orang selalu cakap anak seni itu dan lara tak boleh dipisahkan. Saya kena berani mengurangkan sesuatu yang boleh mengunsurkan lara,”katanya.
Bagaimanapun, luah Erma, dia tidak mahu orang menganggap dirinya mulia sedangkan dia juga tidak sempurna seperti insan lain.
“Mahu kata saya tak lara? Lara juga. Bukanlah saya ini mulia suci sangat. Tapi selama ini bila kita berkarya, kita buat adegan-adegan yang kita tahu salah dari segi hukum. Kita tahu sangat dalam hati kita ia salah.
“Bila kau hendak berhenti membuat kesalahan? Bila? Di mana? Di platform mana? Siapa yang hendak bagi kau peluang tu kalau bukan diri kau sendiri? Kalau orang tidak bagi saya buat pun, sekurangnya dengan apa yang ada sekarang, saya boleh membawa diri saya ke arah itu secara perlahan-lahan.
“Kerana saya sudah ada platform. Apabila sudah ada platform, saya tidak boleh buat alasan lagi.
“Nikmat Allah yang Dia bagi, Dia bagi saya kemampuan buka satu platform, saya masih hendak kata tidak boleh berkarya cara halal? Dulu bolehlah cakap tidak boleh, tapi sekarang, kau sendiri boleh pilih. Kau boleh berkarya dengan cara yang benar,”akhirinya.
Tamparan hebat
Menghasilkan platform tontonan digital di Karya Reels, kata Erma inisiatif itu tentunya tidak mudah. Tetapi harus dirinya berasa bangga kerana aplikasi itu tidak akan terhasil jika dia tidak menanam azam untuk merubah sesuatu yang telah menjadi kebiasaan anak seni dalam industri.
Kata Erma, semuanya terjadi kerana dia tertampar dengan kata-kata seorang kenalan usahawan dari luar negara.
Akui Erma, tajamnya kata-kata individu itu membuatkan dirinya tersedar bahawa selama 34 tahun berada dalam industri, tiada satu pun karyanya benar-benar menjadi milik sendiri.
“Apabila saya bercerita mahu buat aplikasi ini, dia dengar dan di penghujung perbualan, dia beritahu kepada saya begini. ‘Saya minta maaf untuk mengatakan ini kepada awak, Erma. Kau tidak tahu bagaimana untuk menghargai diri sendiri. Kau tidak tahu menghargai idea yang Allah berikan kepada kau’.
“Itu yang dia cakap kepada saya. Dia tanya sehingga kini adakah saya betul-betul kaya kerana hasil kerja yang dilakukan selama ini? Rasa tertampar dan kata-kata itu telah membuka mata saya.
“Selama ini katanya, saya hanya mengkayakan orang lain, tetapi nilai untuk diri sendiri, saya tak pernah letakkan di tahap tinggi,”luahnya.
Bagaimanapun, satu yang paling dihajati Erma adalah untuk memiliki semua karya yang dihasilkan. Menyedari hal itu, sebolehnya Erma mencuba mencari jalan bagaimana mahu merealisasikannya.
“Lebih tiga dekad, semua karya saya milik stesen tv. Kalau awak tanya pada ahli perniagaan, semua akan cakap ‘orang bodoh sahaja duduk dalam industri seni’. Sakit dengar? Ya memang sakit.
“Awak tak akan percaya apa yang dikatakan adalah kenyataan. Awak tak dapat untung. Mahu dapat 20 atau 30 peratus pun sakit macam nak mati. Tetapi saya buat aplikasi Karya Reels bukan niat nak menentang stesen TV.
“Bagi saya, terutamanya TV3, saya bersyukur kerana bersama mereka daripada awal. Saya mula dalam industri, sebagai pelakon, penerbit, pengarah, itu platform saya. Dan saya tidak akan lupa jasa TV3 pada saya.
“Tapi saya berkeinginan, mimpi untuk merasa memiliki karya saya. Itu saja.Bukan kita nak lawan mana-mana stesen. Saya tak mampu lawan. Saya tak ada duit,”ujarnya.
Jelas Erma, tujuan asal Karya Reels dibina juga adalah demi menyediakan satu platform mudah untuk orang ramai khususnya peminat drama tempatan menonton karya yang berbeza.
“Ini hanya satu platform kecil. Sebesar kuman saja mimpi itu. Untuk saya memiliki karya sendiri dan saya membuat satu karya yang dirasakan patut disampaikan kepada masyarakat.“Yang tidak mampu memberi rating yang tinggi mungkin. Tetapi ia adalah satu dakwah. Satu kontribusi saya kepada agama, bangsa dan negara sebagai anak seni. Bukan masalah penyondol saja. Bukan masalah cinta saja. Tapi itulah rating yang tinggi di stesen.
“Jadi dia akan cerita yang sama saja. Makanya apakah sumbangan saya di penghujung pengakhiran hidup saya sebagai orang seni? Jadi, inilah peluang saya dapat buat sesuatu yang saya boleh sampaikan kepada masyarakat melalui karya-karya saya di platform ini.
“Berapa ramai orang hendak tonton, saya serah pada Allah kerana rezeki tak pernah salah,”katanya.