SEPANG: Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) akan mula menggerakkan sekretariat untuk mengadakan pertemuan secara tertutup dengan kesemua 23 ahli keluarga peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) bagi menyampaikan perkembangan terkini berhubung sukarelawan yang telah ditahan oleh pihak tentera Israel.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, ini kerana SNCC tidak mahu ahli keluarga atau waris sukarelawan yang terbabit menerima maklumat daripada pihak-pihak yang tidak berkenaan.
“SNCC akan segera mengadakan pertemuan dengan keluarga delegasi Malaysia bagi menyampaikan perkembangan terkini, memberi jaminan sokongan penuh serta memastikan mereka dimaklumkan secara berterusan mengenai situasi yang sedang berlaku.
“Dalam soal ini saya kira keluarga adalah kumpulan pendukung utama dan mereka juga terdedah (untuk) membaca sokongan yang menguatkan dan juga boleh jadi terganggu emosi apabila melihat laporan-laporan bahawa kapal ini sudah (ditahan).
“Tugas kita adalah untuk memaklumkan bahawa ini adalah SOP (prosedur operasi standard) atau ‘pattern’ yang sudah kita jangkakan, apa yang akan berlaku dan apa yang akan dibuat, itu tugas kita kerana kita tidak mahu pihak kedua yang bercakap,” katanya menerusi sidang akhbar di SNCC di sini hari ini.
Terdahulu, SNCC mengesahkan kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi GSF telah ditahan rejim Israel selepas lebih 20 jam insiden pintasan berlaku.
Sani Araby berkata, pengesahan rasmi itu diterima pada pukul 4.25 petang waktu Malaysia bahawa semua delegasi kini berada dalam tahanan.- UTUSAN