PUTRAJAYA: Semua institusi pendidikan diminta mengikuti garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengekang penularan jangkitan Influenza-Like Illness (ILI).
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, Garis Panduan Pencegahan Penularan Jangkitan ILI di Institusi Pendidikan KPM boleh dijadikan panduan untuk menguruskan langkah pencegahan dengan teratur dan berkesan.
Menurut beliau, surat peringatan berhubung pemakluman garis panduan itu telah diedarkan kepada semua institusi pendidikan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pada 6 Oktober lalu.
Katanya, antara langkah yang boleh diambil menerusi garis panduan itu ialah murid yang tinggal di asrama dan bergejala perlu diasingkan di bilik sakit.
“Ibu bapa/penjaga perlu segera dihubungi untuk menjemput murid pulang atau pihak institusi pendidikan membawa murid ke pusat perubatan berdekatan untuk mendapatkan rawatan dengan kebenaran ibu bapa/panjaga.
“Menasihati murid yang bergejala untuk berehat di asrama/rumah dan mengelak dari berada di tempat sesak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, kata Mohd. Azam, warga institusi pendidikan disarankan memakai pelitup muka apabila berjumpa orang lain atau ketika berada di tempat awam.
Katanya, kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan kesihatan dalam kalangan warga institusi pendidikan perlu juga diterapkan.
“Ibu bapa/penjaga perlu mengenai peranan mereka dalam mencegah penularan ILI di institusi pendidikan dan untuk peka terhadap keadaan kesihatan anak/anak jagaan mereka,” katanya.
KPM mengambil pendekatan berterusan bagi memastikan langkah kawalan dan pencegahan penyakit dilaksanakan secara efektif.
Surat Peringatan Berhubung Pemakluman Garis Panduan Pencegahan Penularan Jangkitan ILI telah turut diedarkan kepada semua institusi pendidikan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pada 6 Oktober lalu.
“Seluruh warga pendidikan turut diingatkan untuk memastikan aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan diberi perhatian.
“KPM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Kawalan Penyakit sedang memantau secara dekat penularan ILI bagi memastikan kesihatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan,” katanya. – UTUSAN