PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan bahawa beliau tidak campur tangan sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap projek Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana ia adalah di bawah bidang kuasa pihak berkenaan.
Katanya, jika terdapat laporan yang dikemukakan, maka menjadi tanggungjawab SPRM untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“Projek Aerotrain ini berada sepenuhnya di bawah tanggungjawab Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). Saya difahamkan SPRM telah buat kenyataan, itu terpulang (kepada mereka), saya tak boleh campur dan mengambil sebarang pendirian terhadap apa yang dikatakan oleh SPRM.
“Dari segi garis akauntabliti, projek ini dianugerahkan oleh MAHB kepada pihak Alstom, Pestech dan IJM. MOT adalah pengawal selia (regulator) memandangkan MAHB merupakan pemegang konsesi lapangan terbang di bawah Perjanjian Operasi (Operating Agreement),” katanya menerusi sidang akhbar selepas Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) Bilangan 2 Tahun 2025 di sini semalam.
Anthony Loke berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung SPRM yang bersedia untuk menyiasat projek Aerotrain di KLIA sekiranya terdapat petunjuk berlakunya salah guna kuasa atau penyelewengan.
Sementara itu, Anthony Loke berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) perlu bersikap adil dalam melakukan siasatan terhadap mana-mana insiden gangguan perkhidmatan Aerotrain, kerana proses tersebut bakal melibatkan kompaun yang tinggi.
Ia berikutan, terdapat insiden yang bukan disebabkan masalah teknikal, sebaliknya akibat sikap pengguna yang bertindak menahan pintu koc sehingga menyebabkan berlakunya gangguan. – UTUSAN

 
								 
											









