PETALING JAYA: Pelakon, Kamal Adli, tampil menepis segala spekulasi membabitkan rumah tangganya bersama selebriti, Uqasha Senrose yang hangat diperkatakan minggu ini.
Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, menegaskan tuduhan yang berlegar membabitkan dirinya bukan sahaja mencalarkan maruahnya sebagai suami malah memberi tempias kepada keluarga.
“Ada segelintir netizen yang buat andaian saya tiasa masa untuk anak sendiri. Tak baik ya, banyak sahaja masa saya luangkan untuk Hawra bawa bercuti dan sebagainya.
“Saya adalah seorang ayah yang sangat sayangkan anak saya. Mustahil saya tak fikir fasal Hawra,” luahnya menerusi hantaran di Instagram pada Sabtu.
Tambah Kamal, dia juga menafikan dakwaan kononnya dia tidak bekerja selama beberapa bulan.
“Saya sengaja tidak ambil tawaran pekerjaan selama dua bulan untuk berehat setelah berterusan bekerja, sekali gus memberi fokus kepada anak dan isteri.
“Alhamdulillah, setakat ini rezeki saya tidak putus, mencukupi untuk keluarga kecil saya.
“Paling penting isteri dan anak saya sihat dan sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah,” katanya yang juga bersyukur keluarganya dikelilingi orang baik.
Dalam pada itu, pelakon Sihir itu juga berharap agar masyarakat berpada-pada memberikan kritikan terutama dalam perkara melibatkan urusan peribadi keluarganya.
“Urusan peribadi kami biarlah menjadi rahsia kami suami isteri. Saya cuma minta janganlah lakukan provokasi kepada isteri saya dia juga manusia.
“Kadang penat kerja, kadang stres. Apa yang terbaik ialah doakan isteri saya dan kami sekeluarga. Demi Allah, saya sangat sayangkan isteri saya dan anak,” tulisnya dengan tanda pagar ‘saya sayang isteri saya’.
Terdahulu, rumah tangga Uqasha dan Kamal kembali menjadi tumpuan selepas pasangan itu dikatakan tidak lagi saling mengikuti di media sosial.
Malah ada juga yang membuat spekulasi berikutan sesi siaran langsung yang dilakukan Uqasha menceritakan keletihannya ketika bekerja.
Untuk rekod, pasangan selebriti itu mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira. -UTUSAN