KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Kebangsaan akan memberikan Malaysia landasan perundangan kukuh untuk mengurus risiko iklim dan menjejak kemajuan jangka panjang secara konsisten serta telus.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, undang-undang itu bakal menjadi tulang belakang perundangan negara dalam mengurus risiko perubahan iklim serta menjejaki kemajuan jangka panjang secara konsisten.
Beliau yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, usaha ini turut dilengkapi dengan pembangunan Dasar Pasaran Karbon Negara yang akan mewujudkan pasaran karbon berasaskan pematuhan dan sukarela.
“Kerajaan sedia membentangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Kebangsaan (RUUPIN) di Parlimen sebagai rangka kerja perundangan menyeluruh bagi memperkukuh tadbir urus iklim negara.
“Kami sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan RUUPIN iaitu satu rangka kerja perundangan yang akan menyediakan panduan menyeluruh mengenai tadbir urus iklim, kewajipan pelaporan serta penyelarasan institusi.
“Sebaik sahaja dibentangkan di Parlimen, rang undang-undang ini akan memberikan Malaysia landasan perundangan kukuh untuk mengurus risiko iklim dan menjejak kemajuan jangka panjang secara konsisten serta telus.
“Ia juga menandakan peralihan daripada penglibatan secara sukarela kepada akauntabiliti yang lebih tegas,” katanya ketika berucap dalam Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur di sini hari ini.
Johari berkata, pelengkap kepada usaha tersebut ialah pembangunan Dasar Pasaran Karbon Negara bagi mewujudkan pasaran karbon berasaskan pematuhan dan sukarela.
“Matlamatnya ialah memastikan mekanisme perdagangan berlandaskan integriti alam sekitar, kredibiliti pasaran dan sejajar dengan piawaian antarabangsa.
“Dasar ini akan membolehkan pengurangan pelepasan berskala besar, menggerakkan modal swasta dan menyokong inovasi sambil melindungi kepentingan awam,” katanya. – UTUSAN










