KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti kemungkinan untuk membenarkan semula hukuman rotan di sekolah, namun dengan garis panduan dan syarat ketat bagi mengelak sebarang penyalahgunaan kaedah disiplin itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut sedang dipertimbangkan susulan kebimbangan terhadap peningkatan kes salah laku disiplin pelajar yang dilihat semakin membimbangkan di sekolah-sekolah seluruh negara.
Beliau berkata, meskipun prinsip utama kerajaan ialah mendidik dengan kasih sayang serta pendekatan membina, bentuk disiplin tradisional seperti rotan masih boleh dipertimbangkan sekiranya dilaksanakan secara terkawal dan berpandukan peraturan yang jelas.
“Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk membenarkan semula rotan, tetapi mesti ada syarat ketat. Ia tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya, hanya oleh guru tertentu dan dalam keadaan terkawal,” katanya ketika menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri berkata, pendekatan berimbang antara ketegasan dan pendidikan berakhlak perlu diutamakan bagi memastikan tindakan disiplin tidak menjadi punca kepada penderaan atau tekanan psikologi terhadap pelajar.
“Kita tidak mahu kembali ke zaman di mana murid dihukum tanpa belas, tetapi dalam masa sama kita tidak boleh biarkan disiplin runtuh. Maka kerajaan akan teliti kaedah terbaik,” katanya.
Anwar memaklumkan, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah berisiko tinggi sebagai langkah tambahan meningkatkan keselamatan dan pemantauan terhadap pelajar.
“Semua ini kita laksanakan untuk memastikan persekitaran sekolah kekal selamat dan kondusif, sambil memastikan nilai disiplin serta rasa hormat terhadap guru terus dipupuk dalam kalangan murid,” katanya. – UTUSAN










