BALIK PULAU : Seorang guru sekolah menengah direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung satu kes rogol membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun.
Perintah reman sehingga Isnin itu dikeluarkan oleh Majistret Chia Huey Ting bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan.
Suspek yang berusia 32 tahun sebelum itu tiba di pekarangan mahkamah di sini kira-kira pukul 8.14 pagi dengan diiringi oleh anggota polis.
Difahamkan, suspek menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya selepas mangsa yang juga pelajar di sekolah yang sama membuat laporan berhubung kejadian terbabit.
Difahamkan juga, mangsa mendakwa telah dirogol oleh suspek di kawasan parkir terbuka sebuah kompleks beli belah di Persiaran Bayan Indah di sini, pada November tahun lepas sebelum tampil membuat laporan polis.-UTUSAN