Dunia teknologi dan inovasi kini bukan lagi asing bagi golongan berkeperluan khas apabila seramai 130 murid daripada 15 buah sekolah pendidikan khas dan unit PPKI dari tujuh negeri seluruh negara menyertai Pertandingan RoboCode Kebangsaan yang berlangsung di Ar-Riyadah Residence, Kuala Nerus baru-baru ini.

Program yang dianjurkan oleh Pusat Asasi program Sains Teknologi , Kejuruteraan sdan Matematik (STEM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Yayasan TM ini merupakan Fasa 3 dan juga fasa terakhir bagi projek RoboCode, di bawah Geran Impak Sosial Yayasan TM (YTM Social Impact Grant).
Pertandingan tersebut menjadi kemuncak kepada projek RoboCode: Code the Robot for Special Needs, satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid berkeperluan khas dalam bidang robotik dan pengaturcaraan digital.
Menurut Pengarah Program RoboCode, Wan Mohd Tarmizi Wan Mohd Yusuf, projek tersebut bermula secara kecil-kecilan pada tahun 2020 dengan hanya dua sekolah di Terengganu, namun kini berkembang ke seluruh negara hasil sokongan Yayasan TM melalui geran impak sosial.
“Kami berbangga melihat perkembangan luar biasa ini. Daripada hanya dua sekolah pada peringkat awal, kini 15 buah sekolah pendidikan khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) seluruh negara terlibat secara aktif.
“Ini membuktikan bahawa dengan bimbingan dan peluang yang betul, murid berkeperluan khas juga mampu menguasai kemahiran digital dan teknologi masa depan,” katanya.

Program yang dijalankan sepanjang setahun ini memberi tumpuan kepada murid berkeperluan khas bagi kategori masalah pendengaran, autisme, disleksia dan masalah pembelajaran, dengan pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan serta interaktif.
Sepanjang pelaksanaan projek, peserta bersama guru dibimbing melalui aktiviti pengaturcaraan blok (block programming) dan permainan robotik asas bagi memupuk minat terhadap teknologi serta meningkatkan kemahiran digital asas.
Pendekatan ini bukan sahaja memberi kefahaman awal tentang dunia sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), tetapi turut membantu membangunkan keyakinan diri, kemahiran berfikir secara kreatif serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan peserta.
“Pendedahan seperti ini amat penting untuk memastikan murid berkeperluan khas tidak terpinggir daripada arus pendigitalan dan kemajuan teknologi global. Ia juga seiring dengan aspirasi negara ke arah masyarakat inklusif dan celik teknologi,” ujarnya.
Pertandingan RoboCode Kebangsaan menjadi platform inklusif untuk meraikan potensi dan bakat murid berkeperluan khas, sekali gus memperkukuh komitmen pelbagai pihak terhadap pendidikan mampan dan inklusif untuk semua golongan.
Inisiatif ini turut membuka ruang kolaborasi antara institusi pendidikan, industri, dan pertubuhan sosial, bagi melahirkan lebih banyak peluang pembangunan kapasiti untuk murid berkeperluan khas dalam bidang teknologi masa hadapan.
Kejayaan penganjuran pertandingan ini bukan sahaja mencerminkan komitmen UMT dan Yayasan TM dalam memperkasa komuniti, tetapi turut menegaskan bahawa kemahiran digital dan teknologi adalah hak semua – tanpa mengira keupayaan.
Guru pembimbing daripada Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Taiping Marniyati Mamat Noor, berharap penganjuran pertandingan ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan bagi memberi peluang murid berkeperluan khas meneroka aktiviti melibatkan robot.
“Pertandingan ini membuka peluang kepada murid berkeperluan khas untuk menunjukkan kreativiti dan memberi impak yang sangat positif kepada mereka. Murid didedahkan dengan asas robotik pada Fasa 1 dan Fasa 2 dan pertandingan ini memberi peluang kepada murid untuk meneroka aplikasi robot dalam kehidupan seharian hadapan,” ujarnya. – UTUSAN










