PETALING JAYA: Sasaran 47 juta pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) masih realistik untuk dicapai meskipun kerajaan hanya memperuntukkan RM700 juta kepada sektor pelancongan menerusi Belanjawan 2026.
Ketua Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Ts. Dr. Mohd Hafizal Ismail berkata, peningkatan ketibaan pelancong sejak 2023 hingga kini menunjukkan trend positif hasil tumpuan kerajaan terhadap promosi, pemasaran dan pembangunan produk baharu.
Katanya, perbandingan antara peruntukan terdahulu dengan tahun semasa tidak boleh dibuat secara langsung kerana situasi pada masa lalu dipengaruhi penularan pandemik Covid-19 yang menjejaskan jumlah ketibaan pelancong ke negara ini.
“Tidak dinafikan bahawa pada lima tahun dahulu kerajaan memperuntukkan belanjawan sangat tinggi, namun waktu tersebut, kita semua tersentak dengan penularan pandemik Covid-19.
“Saya percaya, peruntukan terdahulu telah digunakan sebaik mungkin bagi menambah baik infrastruktur yang lebih baik dan berkualiti. Kini fokus pihak kerajaan adalah untuk memperhebatkan keterlihatan produk pelancongan Malaysia di seluruh dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, peruntukan RM700 juta bagi sektor pelancongan dalam Belanjawan 2026 disifatkan masih belum mencukupi untuk mencapai sasaran ketibaan 47 juta pelancong.
Dalam pada itu, Mohd. Hafizal berkata, promosi pelancongan Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya kepintaran perniagaan bagi menarik pelancong antarabangsa.
Katanya, strategi promosi melalui platform media sosial perlu diperkukuh dengan kandungan kreatif yang mampu mempengaruhi keputusan perjalanan pelancong asing.
Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATTA), Datuk Seri Dr. Mohd. Khalid Harun berkata, cadangan pengenaan caj khas terhadap pelancong asing wajar dipertimbangkan dengan syarat pelaksanaannya dilakukan secara telus.
“Langkah itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana beberapa negara seperti New Zealand, Australia dan Jepun telah lama melaksanakan caj pelancongan yang hasilnya digunakan untuk pemuliharaan alam sekitar, penyelenggaraan tapak warisan dan pembangunan komuniti pelancongan tempatan,” katanya.-UTUSAN