PETALING JAYA: Kerajaan memperkukuh ekosistem semikonduktor negara melalui pelaburan strategik berjumlah RM550 juta oleh Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bagi merangsang usaha sama antara firma tempatan dan syarikat multinasional.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama rantaian bekalan global dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).
Selain itu, di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) turut menyediakan pinjaman berjumlah RM500 juta bagi menyokong aktiviti bernilai tambah tinggi seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D) khususnya oleh syarikat tempatan dalam ekosistem E&E.
“Bagi membantu syarikat pemula semikonduktor yang berdepan cabaran kos prototaip tinggi, kerajaan akan melancarkan SemiconStart iaitu program inkubator oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dengan kerjasama inkubator global.
“Program ini akan memberi bimbingan, akses kepada pembiayaan global, penyediaan prototaip pada harga diskaun serta peluang rangkaian pelanggan bagi membantu syarikat pemula peringkat awal berkembang,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini. – UTUSAN










