KUALA LUMPUR : Pelakon, Kamal Adli, 39, mendedahkan sudah lama tidak bertemu dengan isterinya, Uqasha Senrose, 33.
Menurut Kamal, keadaan itu berlaku sejak 27 September lalu, ketika Uqasha bertindak menyekat komunikasi secara terus dengannya termasuk melalui telefon.
“Kami dah lama tak berjumpa. Terus-terang saya sangat merindui isteri saya. Agak lama jugalah iaitu sejak dia menyekat saya di telefon dan media sosial,”katanya.
Kamal berkata demikian ketika ditemui usai sesi prosiding kedua tuntutan perceraian Uqasha terhadapnya di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Selain itu, Kamal juga menegaskan bahawa dia tidak berlaku curang terhadap Uqasha atau wujud orang ketiga yang menjadi punca isterinya itu berhasrat untuk bercerai.
“Paling penting, saya nak beritahu di sini, saya tak curang. Saya tak ada orang lain. Saya tak ada sesiapa saja. Saya hanya ada dia (isteri) dan anak saya sahaja, okey?”tegasnya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan bahawa dia melakukan kekasaran terhadap isterinya itu, Kamal bagaimanapun menafikan hal itu.
“Itu dakwaan sahaja bukan? Tak payahlah. Buktikanlah, tak payah benda-benda macam itu.
“Itu kes dalam kain, apa-apa semua, janganlah buat itu. Saya sayang dia. Okey, itu sahaja yang paling penting,”katanya.
Sebelum ini, prosiding pertama perceraian pasangan berkenaan yang dijadualkan pada 22 Oktober lalu terpaksa ditangguhkan susulan ketiadaan pihak defendan yang ketika itu sedang menjalani penggambaran.
Rumah tangga pasangan selebriti itu dikatakan mula bergolak sejak April lalu, namun sumber terdekat menjelaskan bahawa ia bukan berpunca daripada orang ketiga.
Difahamkan, Uqasha kini tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan menetap bersama ibunya.
Sebelum ini juga, beberapa hantaran berunsur luahan hati di media sosial milik Uqasha mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan warganet mengenai status hubungan mereka.
Untuk rekod, Uqasha Senrose dan Kamal Adli disatukan sebagai suami isteri pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.-UTUSAN










