lPONTIAN: Orang ramai diminta membantu mencari seorang remaja wanita berusia 18 tahun yang dilaporkan hilang setelah keluar rumah di Kampung Sungai Durian Darat, Serkat di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Mohammad Shofee Tayib berkata, remaja tersebut, Nurul Sakinah Abdullah, 18, dikatakan telah keluar dari rumahnya pada pukul 3 petang.
Katanya, keluarga mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Permas pada hari kejadian setelah menyedari Nurul Sakinah tiada di rumah.
“Ciri-ciri remaja hilang itu seperti mana dalam laporan polis yang dibuat mempunyai ketinggian 156 sentimeter, berambut panjang paras bahu, berbadan sederhana, anggota badan kulit cerah dan hidung mancung,” dalam kenyataan di sini hari ini.
Sekiranya orang ramai yang ternampak orang hilang itu, mereka boleh menghubungi talian 013-7311232 atau talian hotline 07-6869999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN










