PETALING JAYA: Selepas bermati-matian berjuang dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), penyanyi, Zizi Kirana meluahkan hasrat untuk menjejakkan kaki ke Makkah dan Madinah.
Luahan spontan tersebut telah dikongsikan oleh Zizi menerusi sebuah hantaran di Threads selain yakin di Tanah Suci itu mampu memberikan dirinya ketenangan jiwa dan rohani.
“Sekarang rasa dia seperti mahu pergi Makkah dan Madinah. Duduk tenang-tenang di sana,” katanya.
Sejak bulan lalu, Zizi sering menjadi tumpuan masyarakat ketika menjayakan misi GSF untuk menghantar bantuan buat rakyat yang masih ditindas di Gaza, Palestin.
Namun, misi itu terus menjadi tumpuan ramai apabila kesemua kapal yang menuju ke Gaza dipintas tentera Israel di Perairan Antarabangsa, minggu lalu.
Difahamkan, Zizi bersama 22 aktivis lain turut ditahan di penjara rejim zionis selama beberapa hari sebelum dibebaskan dan di bawa ke Istanbul, Turkiye untuk mendapatkan rawatan di sana.
Kepulangan kesemua aktivis tersebut ke tanah air disambut dengan baik oleh ramai pihak termasuk ahli keluarga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Rabu lalu.