Rakyat Pahang berhimpun solidariti aktivis GSF

Rakyat Pahang berhimpun solidariti aktivis GSF

PENDUDUK  Pahang berhimpun secara aman di hadapan Masjid Sultan Ahmad Shah di Kuantan bagi menyatakan bantahan kepada Israel berikutan beberapa buah kapal yang menghantar bantuan ke Gaza telah ditawan oleh Israel. - UTUSAN/SHEIKHAHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kira-kira 2,000 rakyat negeri ini berkumpul dalam Perhimpunan Solidariti Misi Sumud Flotilla Pahang di Masjid Negeri 1 Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Perhimpunan terbabit sebagai tanda bantahan terhadap tindakan rejim Zionis Israel menahan aktivis Global Sumud Flotilla dan Sumud Nusantara itu dianjurkan Majlis Belia Negeri Pahang dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Kebajikan Sukarelawan Sosial Anak Pahang, Suara Anak Pahang dan Gabungan Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Pahang itu berlangsung secara aman selepas solat Jumaat.

Setiausaha Agung Majlis Belia Pahang, Nabil Fiqri Nor Azmi berkata, himpunan tersebut adalah manifestasi solidariti rakyat negeri ini yang menzahirkan sokongan kepada aktivis Misi Sumud Nusantara yang ditahan ketika membawa bantuan kemanusiaan ke Palestin.

“Himpunan ini  mengumpulkan sekitar 2,000 orang daripada kalangan NGO dan orang awam yang prihatin. Kami mahu suara ini didengari pihak berkaitan kerana penangkapan aktivis tanpa senjata itu jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

“Rakaman video yang tular menunjukkan aktivis-aktivis kita dilayan seolah-olah penjenayah, sedangkan mereka hadir dengan tujuan kebajikan membantu rakyat Palestin yang kini terkurung dalam penjara terbuka di Gaza,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan terbabit.

Menurutnya, tindakan Israel itu mencerminkan kezaliman berterusan yang dilakukan terhadap penduduk Palestin, termasuk serangan udara yang telah meragut lebih 60,000 nyawa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN