Raja Muda Selangor selamat diijab kabul

Raja Muda Selangor selamat diijab kabul

TENGKU Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama pasangan, Afzaa Fadini Abdul Aziz.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz selamat diijabkabulkan dalam satu Istiadat Pernikahan Diraja di Istana Alam Shah di sini, semalam.

Istiadat di Masjid Istana Diraja itu disempurnakan Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir di hadapan dua saksi, Tengku Panglima Raja Selangor, Tengku Ahmad Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Tengku Indera Pahlawan Diraja, Tengku Datuk Putra Alhaj.

Akad ijab dan kabul disempurnakan tepat pukul 10.08 pagi dengan sekali lafaz disusuli dengan 11 das tembakan meriam.

Istiadat pernikahan yang dilakukan dengan penuh tertib mengikut adat itu disaksikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Dalam pada itu, Sultan Selangor berkenan mengurniakan darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datin Paduka Seri kepada Afzaa Fadini selepas Istiadat Pernikahan Diraja.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Munir Bani berkata, gelaran rasmi konsort kepada Raja Muda Selangor adalah Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.

Terdahulu, Istiadat Perkahwinan Diraja Raja Muda Selangor dimulakan dengan perarakan diraja sejauh 650 meter dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz di Jalan Istana menuju ke pintu utama Istana Alam Shah.

Tengku Amir Shah menaiki Roll Royce A1 diiringi lima kerabat iaitu Penghulu Adat Istiadat Seri Amar Diraja Selangor, Engku Panglima Setia Diraja; Tengku Seri Perkasa Diraja, Tengku Orang Kaya Menteri Diraja dan Tengku Maha Kurnia Bijaya Diraja.

Rombongan tersebut diiringi 16 jejawat terdiri daripada lapan pembawa payung serta empat pembawa lembing dan tombak.

Turut serta dalam perarakan tersebut adalah Panglima Perang Kanan dan Panglima Perang Kiri dari Markas 11 Briged dan Pasukan Kompang Diraja.

Perarakan itu disaksikan lebih 3,000 pengunjung yang hadir itu tiba di pintu utama Istana Alam Shah kira-kira 20 minit selepas istiadat bermula pukul 9 pagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN