PETALING JAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli akan memperkenalkan dua kedai berkonsepkan perusahaan sosial iaitu Fleximart dan Kesum yang bakal menjual makanan dan barangan pada harga bawah RM5.
Ahli Parlimen Padan itu berkata, inisiatif itu di bawah Ayuh Malaysia yang akan mula dibuka kepada orang ramai pada 1 November dan 8 November ini.
Beliau memberitahu, Fleximart adalah sebuah kedai serbaneka yang memberi tumpuan kepada makanan siap bawah RM5, selain menawarkan barangan runcit lain pada harga rendah.
“Kesum ialah kedai makan ‘value meal’ berkonsepkan ‘asal kenyang, sedap dan murah’ bersempena daun kesum serta singkatan kepada kenyang, sedap dan murah.
“Kesum akan menjual makanan sarapan, tengah hari dan malam pada harga bawah RM5,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya
Katanya, kedua-dua kedai itu menggunakan konsep perusahaan sosial, iaitu perkongsian di antara penyumbang modal dan pekerja. Keuntungan akan dikongsi bersama di antara penyumbang modal, pekerja dan orang ramai. Lebih untung, lebih tinggi gaji pekerja dan keuntungan itu disumbangkan balik supaya harga dapat dikekalkan rendah.
“Saya tidak tahu sama ada model yang julung kalinya dibuat untuk kedai-kedai ini akan berjaya. Niat saya ialah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda dan membantu orang ramai dengan menawarkan makanan dan barangan pada harga yang lebih murah.
“Jika dua eksperimen sosial ini berjaya, kami ada peluang yang lebih baik untuk mengembangkannya kepada lebih banyak cawangan. Lebih banyak cawangan dibuka, lebih banyak tawaran harga yang lebih rendah dan lebih banyak anak muda dilatih memiliki dan mengendalikan perniagaan sendiri.
“Saya jemput orang ramai untuk hadir ke pembukaan Fleximart pada hari Sabtu, 1 November 2025 jam 10 pagi di alamat 35, Jalan Plumbum U7/U, Seksyen 7, Shah Alam (sederet dengan Speedmart).
“Kesum akan dibuka pada 8 November 2025 jam 9 pagi di alamat 25, Jalan Pandan Indah 1/20, Pandan Indah (sederet dengan KM Bistro).
“Insya Allah saya akan buat kopi, sediakan makanan dan menjadi sebahagian dari krew Fleximart dan Kesum pada hari itu,” katanya. – UTUSAN










