KUALA LUMPUR: Prosiding kes perceraian antara pasangan pelakon popular, Kamal Adli dan Uqasha Senrose di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini terpaksa ditangguhkan selepas peguam yang mewakili Uqasha dilaporkan menarik diri daripada mengendalikan kes berkenaan.
Menurut peguam syarie yang mewakili Kamal, Abdul Hadi Mohammad Salleh, mahkamah pada asalnya menetapkan prosiding tersebut bagi mendengar kedua-dua pihak, namun hanya berjalan sebelah pihak berikutan ketiadaan wakil peguam bagi pihak defendan.
“Hari ini kami dimaklumkan bahawa peguam yang mewakili Uqasha sebelum ini telah menarik diri daripada kes.
“Sepatutnya ada peguam baharu hadir, namun tiada. Maka, prosiding berlangsung sebelah pihak sahaja,” katanya ketika ditemui selepas prosiding selesai.
Tambahnya, mahkamah kemudiannya memberi peluang dan amaran kepada pihak Uqasha agar hadir semula bersama peguam dalam prosiding akan datang bagi meneruskan kes berkenaan.
“Hakim memberi peluang terakhir kepada Uqasha untuk hadir dengan peguam bagi menentukan sama ada kes ini akan diteruskan atau sebaliknya,” jelasnya.
Mahkamah kemudian menetapkan 19 November depan sebagai tarikh baharu sebutan semula kes tersebut.
Difahamkan, permohonan perceraian itu difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, atas alasan tiada persefahaman antara suami isteri.
Terdahulu, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu, manakala prosiding pertama berlangsung pada 22 Oktober, sebelum disambung hari ini.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam satu majlis tertutup di Janda Baik, Pahang. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 18 bulan.










